Lelaki maut, gara-gara motosikal ubah haluan

PORT DICKSON – Gara-gara sebuah motosikal mengubah haluan secara tiba-tiba, seorang lelaki maut dalam kejadian di simpang tiga Kampung Tarzan, Linggi pada Isnin.
Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu menyebabkan mangsa lelaki berusia 23 tahun, yang juga menunggang motosikal mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua motosikal jenis Honda FS150 dan Honda ANF100 dari arah Linggi menghala ke Pasir Panjang.
"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda ANF100 yang ditunggang dan dibonceng oleh dua lelaki warga Indonesia dipercayai dari bahu jalan sebelah kiri telah mengubah haluan ke kanan.
"Pada masa sama, motosikal jenis Honda FS150 yang ditunggang lelaki berusia 23 tahun dari arah belakang telah melanggar motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Jelasnya, kedua-dua lelaki Indonesia itu pula melarikan diri dan masih belum dikenal pasti kecederaannya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan.
Tambahnya, sebarang maklumat lanjut boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zulhelmi Azman di talian 016-9984806.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

