Pekerja lombong warga Myanmar maut ditikam rakan serumah gara-gara mabuk

Keadaan dalam rumah kongsi di mana mangsa maut ditikam rakan serumah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, Kuantan pada Sabtu.
Keadaan dalam rumah kongsi di mana mangsa maut ditikam rakan serumah di Sungai Bayas, Sungai Lembing, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja lombong warga Myanmar maut ditikam rakan serumah gara-gara mabuk dan mengganggu penghuni lain dalam kejadian di sebuah rumah kongsi di Sungai Bayas, Sungai Lembing di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa berusia 42 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke hospital itu oleh rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan parah akibat kesan tikaman di dada.

"Susulan kejadian, pihak polis menahan empat lelaki termasuk tiga warga asing berusia antara 38 hingga 64 tahun bagi membantu siasatan.

"Semua suspek ditahan kira-kira jam 7.30 petang hari yang sama bagi membantu siasatan," katanya.

Ashari berkata, hasil soal siasat, salah seorang suspek juga lelaki warga asing mengaku bertindak menikam mangsa.

"Suspek dipercayai bertindak demikian kerana marah mangsa mabuk dan membuat kacau hingga mengganggu penghuni lain yang sedang tidur," ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil pemeriksaan di rumah kongsi pekerja lombong itu, polis berjaya menemui pisau yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

"Pihak polis turut mengambil empat sampel darah di lokasi untuk dianalisa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!