Anak 4 tahun maut didera bapa gara-gara mulut 'lancang'

BANTEN – Pasangan suami isteri ditahan kerana dipercayai mendera anak kandung mereka berusia empat tahun hingga maut selepas mangsa dikatakan bercakap dengan kata-kata kasar.
Mangsa, dikenali sebagai MA, meninggal dunia baru-baru ini di sebuah hospital di Ciputat, Tangerang Selatan, dengan kesan lebam pada beberapa bahagian tubuh.
Ketua Polis Tangerang Selatan, Asisten Komisioner Besar (AKBP) Victor Inkiriwang berkata, siasatan mendapati suspek adalah bapa mangsa, AAY, dan ibunya, FT.
“Kedua-dua mereka sudah ditetapkan sebagai suspek kes penderaan fizikal terhadap anak kandung sendiri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Tangerang Selatan, Serpong, Jumaat lalu.
Victor menjelaskan, kejadian berlaku apabila mangsa didakwa mengeluarkan kata-kata kasar yang mencetuskan kemarahan bapanya.
“Disebabkan emosi yang tidak terkawal, AAY telah melakukan keganasan fizikal terhadap anak tersebut,” katanya.
Menurutnya, FT turut dituduh bersubahat namun tidak ditahan atas faktor kemanusiaan memandangkan wanita itu masih mempunyai seorang lagi anak berusia setahun setengah yang memerlukan penjagaan.
Sementara itu, jiran pasangan berkenaan, Priyanti berkata, mereka sekeluarga dikenali sebagai pendiam dan jarang bergaul dengan penduduk setempat.
Menurutnya, ibu mangsa hampir tidak pernah berinteraksi dengan jiran, manakala bapa mangsa sekali-sekala bertegur sapa secara ringkas.
Priyanti berkata, dia hanya mengetahui kematian mangsa selepas menerima panggilan telefon daripada bapa kanak-kanak itu yang memaklumkan anaknya meninggal dunia di hospital.
“Dia kata anaknya meninggal di hospital, bagaimanapun, sehingga jam 1 pagi, jenazah yang ditunggu tidak kunjung tiba, sebaliknya pihak polis yang datang.
“Polis beritahu telah berlaku pembunuhan dan mangsa adalah anaknya sendiri. Kami semua terkejut,” katanya.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

