Pegawai kanan ATM disiasat kes rasuah

Azam (tengah) dalam sidang akhbar Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Rosli Talib
Azam (tengah) dalam sidang akhbar Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM di Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjurus ke arah pembuktian kes rasuah, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram berhubung kes penyeludupan membabitkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya percaya kegiatan penyeludupan itu melibatkan lokasi di Selat Melaka hingga ke Johor.

"Sepatutnya mereka (suspek) menjaga keselamatan negara, menjaga maklumat dan berkongsi maklumat dengan agensi penguat kuasa lain.

"Jadi antara lain saya nampak jika betul perkara ini berlaku, ia satu faktor yang menyusahkan agensi penguat kuasa lain kerana kebocoran maklumat. Siasatan kita ke arah pembuktian kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram," katanya kepada pemberita semasa Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini, pada Khamis.

Sebelum itu, Op Sohor yang dijalankan SPRM pada Rabu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air.

Operasi dari bahagian perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) telah menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat leftenan kolonel dan kapten, selain lima orang awam termasuk seorang warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi.

Siasatan awal mendapati lima individu dan dua bekas pegawai yang menjadi suspek utama disyaki telah membocorkan maklumat operasi ketenteraan kepada penyeludup dan bersekongkol dengan sindiket.

Barang larangan diseludup masuk seperti dadah, rokok serta barangan lain dari negara jiran ke Malaysia yang kesemuanya membabitkan jumlah kira-kira RM5 juta sebulan.

Kesemua suspek dipercayai menerima wang rasuah berjumlah kira-kira antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap perjalanan penyeludupan yang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!