2.5 tan tembakau kunyah seludup dirampas, enam kenderaan disita

RANTAU PANJANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 2,587.50 kilogram (kg) tembakau kunyah bernilai RM59,512.50 yang dipercayai diseludup dari negara jiran di sebuah taman perumahan di Kampung Kukang, Jalan Perol, Kadok di sini pada 4 Ogos lalu.
Serbuan yang dilakukan pada jam 4.30 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun serta menyita enam buah kenderaan jenis pacuan empat roda termasuk sebuah lori.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, semasa Operasi Macan Legit II itu, penyeludup terbabit sedang memunggah 122 kotak yang mengandungi tembakau kunyah dari pacuan empat roda ke sebuah lori.

"Modus operandi mereka ialah barangan ini dibawa masuk melalui pangkalan haram di Sungai Golok kemudian dibawa ke satu kawasan perumahan sebelum dipindahkan ke dalam lori.
"Kemudian barangan ini dipercayai akan dipasarkan ke Lembah Klang untuk kegunaan orang tempatan serta warga asing," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Penguat kuasa JKDM Cawangan Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Menurut beliau, harga tembakau kunyah terbabit di pasaran ialah RM23 sekilogram.
Ujarnya, nilai keseluruhan rampasan tembakau kunyah termasuk kenderaan dan nilai cukai ialah RM626,049.43.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

