Polis nasihat tidak sertai perhimpunan di Kepala Batas esok

GEORGE TOWN- Polis menasihati orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dijadual diadakan di Bertam, Kepala Batas pada Khamis bagi menjaga keselamatan penduduk setempat dan ketenteraman awam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penganjuran perhimpunan itu dan menggesa semua pihak bersabar menunggu keputusan Pejabat Pendakwa Raya.
“Jangan ambil sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.
"Polis akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau melakukan pecah keamanan, kekacauan, huru-hara atau jenayah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Mohd Hilmi Elias mengesahkan satu perhimpunan akan diadakan di Bertam, Kepala Batas pada Khamis ini sebagai maklum balas kepada kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Beliau berkata, program yang dijadualkan pada jam 5.30 petang itu akan turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menurut Mohd Hilmi, ia sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kes pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik, Azizee berkata, siasatan turut dijalankan terhadap individu yang merakam dan menyebarkan video tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setakat ini katanya, sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan 17 di Pulau Pinang dan 21 di negeri lain.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dikemukakan kepada Pejabat Pendakwa Raya Pulau Pinang pada 11 Ogos lalu.
"Dan kini sedang dalam kajian pihak berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, tular melalui media sosial sebuah video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas yang seperti sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.
Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican membuat laporan polis.
Susulan itu, pemilik kedai perkakasan itu ditahan bagi membantu siasatan namun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di sekitar Kepala Batas pada malam Sabtu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 3 petang, Ahad.
Seramai 10 orang telah diambil keterangan untuk siasatan dan polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

