Cadang bina galeri Tun Abdullah di Kepala Batas

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan tersebut dibuat bagi mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Lah khususnya dalam pembangunan kawasan Kepala Batas dan Pulau Pinang secara keseluruhan.
"Permohonan tanah itu adalah bagi tujuan membina Galeri Pak Lah. Tanah kita mohon disediakan oleh kerajaan negeri, manakala bangunan galeri akan kita usahakan.
"Kita sudah ada Galeri Tunku Abdul Rahman, Galeri Tun Razak dan Galeri Tun Mahathir. Maka adalah wajar untuk membina galeri bagi Perdana Menteri kelima yang juga anak jati Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Bertam di Kepala Batas di sini pada Sabtu.
Reezal berkata, beliau telah menyatakan hasrat itu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan yakin perkara itu akan dipertimbangkan sewajarnya.
"Kerajaan negeri bertanggungjawab dari segi penyediaan tanah dan berdasarkan respon awal, saya dimaklumkan bahawa Ketua Menteri akan buat pengumuman dalam masa terdekat.
"Tanah yang dicadangkan itu akan berada dalam kawasan Parlimen Kepala Batas,"katanya lagi.
Mengulas lanjut, Reezal berkata, pihaknya juga akan membawa cadangan pembinaan galeri itu ke peringkat Persekutuan untuk mendapat sokongan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, ribuan warga Kepala Batas dan penduduk sekitar negeri ini yang hadir pada majlis rumah terbuka itu turut bersama dengan bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham Tun Abdullah.
Acara penghargaan khas ‘Tribute to Pak Lah’ turut diadakan bagi mengenang jasa besar beliau membangunkan Kepala Batas yang dahulunya hanya sebuah pekan kecil dan kini pesat membangun.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri, Toh Puan Khadijah Mohd Nor serta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan isteri, Tan Lean Kee.
Allahyarham Tun Abdullah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut dari 1978 hingga 2013.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 7.10 malam, 14 April lalu akibat masalah pernafasan.
Jenazahnya telah disemadikan di Makam Pahlawan selepas solat Zohor pada 15 April dan beliau menjadi pemimpin kelima yang disemadikan di Makam Pahlawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!