Tiada penutupan jalan di tapak LRT Laluan Mutiara sepanjang musim perayaan

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa tiada penutupan lorong utama jalan raya di tapak kerja pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara sepanjang musim perayaan ini bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, sempena musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri, pemilik projek iaitu MRT Corporation (MRTC) dan kontraktor utama SRS Consortium telah memberi jaminan untuk meminimumkan gangguan trafik.
“Sepanjang musim perayaan, tiada penutupan lorong utama akan dilakukan.
"Jika ada kerja, ia hanya melibatkan waktu malam dan bukan pada waktu puncak,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penang Nature-Based Climate Adaption Award di sini pada Selasa.
Tambah beliau, sebarang perubahan laluan bas akibat kerja pembinaan juga akan diumumkan lebih awal oleh Rapid Penang sekali gus memastikan pengguna jalan raya mempunyai masa mencukupi untuk membuat perancangan perjalanan.
“Semua ini bukan dibuat pada saat akhir sebaliknya dirancang lebih awal bagi mengurangkan kesan kepada orang ramai.
"Bagaimanapun keputusan menghentikan kerja pembinaan sepenuhnya semasa perayaan bergantung kepada kontraktor, namun kebiasaannya kerja akan dihentikan sementara bagi tempoh tertentu," ujarnya.
Mengulas lanjut berkenaan pelan pengurusan trafik (TPM) bagi projek LRT Laluan Mutiara, Zaieil berkata, ia telah dilaksanakan sejak awal projek berkenaan dan dikemaskini setiap bulan selaras dengan perkembangan semasa pembinaan di tapak.
“Setiap bulan pihak pemilik projek iaitu MRT Corporation akan mengemukakan TMP kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
"Pelan ini akan diperhalusi oleh semua jabatan teknikal berkaitan termasuk agensi penguatkuasaan,” katanya.
Zairil menambah, TMP bersifat dinamik kerana skop dan lokasi kerja pembinaan sentiasa berubah yang mana, sebarang pelarasan trafik akan dimaklumkan lebih awal kepada orang ramai melalui pelbagai saluran rasmi.
“Projek ini sentiasa berubah dari segi lokasi kerja, jadi TMP juga akan berkembang dari semasa ke semasa dan semua kemaskini akan diumumkan melalui portal rasmi serta media sosial,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek LRT Laluan Mutiara supaya melaksanakan langkah mitigasi trafik secara berterusan bagi mengelakkan kesesakan teruk di kawasan tapak pembinaan, khususnya ketika kerja-kerja pembinaan semakin giat dijalankan di seluruh pulau.
Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan susulan peningkatan pesat aktiviti pembinaan termasuk di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang dijangka memberi kesan lebih besar terhadap aliran trafik berikutan pergerakan jentera berat.
Tambah Anthony lagi, kementerian juga telah mengarahkan kontraktor supaya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya.
Ringkasan AI
- Tiada penutupan lorong utama jalan raya di tapak pembinaan projek LRT Laluan Mutiara sempena musim perayaan untuk mengurangkan kesesakan trafik
- Pemilik projek dan kontraktor utama memberi jaminan gangguan trafik diminimumkan, kerja pembinaan hanya pada waktu malam
- Perubahan laluan bas akan diumumkan awal oleh Rapid Penang
- Pelan pengurusan trafik diupdate bulanan dan dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang
- Langkah mitigasi trafik diperketatkan susulan peningkatan pesat aktiviti pembinaan di kawasan tapak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

