Kerajaan Pulau Pinang nafi padang bola Tanjung Tokong diswastakan

Pelan menunjukkan lokasi tanah taman awam di Tanjung Tokong yang didakwa telah diletakkan di bawah pengurusan sebuah sekolah swasta antarabangsa. Gambar kecil: Zairil
Pelan menunjukkan lokasi tanah taman awam di Tanjung Tokong yang didakwa telah diletakkan di bawah pengurusan sebuah sekolah swasta antarabangsa. Gambar kecil: Zairil
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan bahawa sebuah padang bola sepak awam di Tanjung Tokong telah diswastakan atau diserahkan kepada pihak swasta sebaliknya menegaskan ia merupakan satu kerjasama praktikal yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, dakwaan yang disebarkan oleh segelintir pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah mengelirukan dan mewujudkan persepsi tidak tepat dalam kalangan orang awam.

Menurutnya, padang bola sepak berkenaan kekal sebagai milik awam dan kerajaan negeri melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) hanya menjalinkan perjanjian dengan sebuah sekolah swasta antarabangsa berhampiran bagi tujuan menaik taraf serta menyelenggara kemudahan tersebut yang sekian lama berada dalam keadaan kurang terurus.

“Ini bukan penswastaan. Sekali lagi kita melihat ada pihak tertentu cuba memutar belit fakta dan memberikan gambaran salah kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Penang Nature-Based Climate Adaption Award di sini pada Selasa.

Beliau menjelaskan, seperti kebanyakan padang awam lain, tahap penyelenggaraan sebelum ini amat minimum termasuk pemotongan rumput yang tidak berkala serta kemudahan asas seperti tiang gol, jaring dan penandaan padang yang tidak diselenggara dengan baik.

“Apa yang kita mahukan ialah sebuah padang yang terjaga, selamat dan selesa digunakan oleh komuniti,” ujarnya lagi.

Zairil berkata, di bawah perjanjian itu, sekolah berkenaan hanya dibenarkan menggunakan padang secara eksklusif pada waktu persekolahan hari bekerja sahaja.

“Di luar waktu tersebut termasuk pada waktu petang, hujung minggu dan cuti sekolah, padang ini kekal dibuka sepenuhnya kepada orang awam.

“Hakikatnya, kebanyakan penduduk menggunakan padang ini kira-kira jam 5 atau 6 petang serta pada hujung minggu, ketika sekolah tidak lagi menggunakannya. Semasa cuti sekolah pula, padang ini dibuka sepenuhnya kepada orang ramai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai pertukaran kepada penggunaan terhad itu, Zairil memaklumkan sekolah berkenaan telah membelanjakan kira-kira RM450,000 bagi kerja menaik taraf padang, termasuk penambahbaikan rumput, pemasangan tiang gol, landskap, pencahayaan, aspek keselamatan serta penyelenggaraan berterusan.

Katanya, kos keseluruhan akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak sekolah yang juga bertanggungjawab melantik kontraktor dan sekiranya mereka gagal menyelenggara padang tersebut, kerajaan negeri berhak mengambil semula pengurusan padang berkenaan.

"Ia satu perjanjian yang jelas dan mudah. Ia melibatkan gelanggang bola sepak berpagar bersaiz 49m x 31m (1568 m2) di atas kawasan lapang Straits Green Park, Tanjong Tokong," katanya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, hanya kawasan padang bola sepak akan dipagar bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan manakala kawasan taman yang lain kekal tidak berpagar dan boleh diakses orang awam.

“Satu bahagian kecil mungkin dibangunkan untuk kemudahan asas dan kemudahan ini juga akan dibuka kepada orang ramai,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penerangan mengenai kerjasama tersebut telah dibuat kepada penduduk setempat sebelum ini termasuk melalui sesi libat urus komuniti seperti program berbuka puasa tahun lalu.

“Bagaimanapun masih ada pihak yang mendakwa mereka tidak dimaklumkan termasuk individu yang sebenarnya tidak tinggal di kawasan ini,” katanya.

Zairil menyifatkan inisiatif itu sebagai penyelesaian menang-menang sambil menegaskan kerajaan negeri tidak akan sesekali menyerahkan tanah awam secara kekal kepada mana-mana pihak.

“Komuniti mendapat padang bola sepak yang dinaik taraf dan diselenggara dengan baik manakala sekolah menggunakan padang ketika ia kurang digunakan.

"Ini memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Zairil berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan protes awam oleh Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) yang dijadualkan berlangsung pada 12 Februari ini di Straits Green, Tanjung Tokong.

Protes tersebut bertujuan menuntut penjelasan berhubung dakwaan penswastaan taman awam yang merangkumi padang bola sepak berhampiran sebuah sekolah swasta serta kawasan persisiran pantai.

Perhimpunan itu dijangka disertai ahli TBRA dan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berkenaan.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan penswastaan padang bola sepak awam di Tanjung Tokong
  • Padang tersebut kekal milik awam, perjanjian dengan sekolah swasta hanya untuk tujuan naik taraf dan penyelenggaraan
  • Padang dibenarkan digunakan oleh sekolah pada hari bekerja, tetapi terbuka kepada komuniti di luar masa tersebut
  • Sekolah membelanjakan RM450,000 untuk penambahbaikan padang sebagai pertukaran penggunaan terhad
  • Inisiatif ini dijelaskan sebagai penyelesaian menang-menang antara komuniti dan sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!