500 sertai Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang di Bertam

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Kira-kira 500 ahli daripada UMNO, Pas dan Bersatu mengadakan Perhimpunan Solidariti Jalur Gemilang Tanah Tumpahnya Darahku di Bertam sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
Kumpulan yang diketuai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu berkumpul di tapak Pasar Malam Pekan Kepala Batas dan berarak sehingga ke Jalan Bertam Perdana.
Mereka berarak kira-kira 15 minit sambil mengibarkan Jalur Gemilang dengan melaungkan “Pertahan Jalur Gemilang”.
Ramai anggota polis termasuk beberapa kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) berada di lokasi sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku perkara tidak diingini.
Muhamad Akmal berkata, beliau berharap pemilik kedai perkakasan yang dikatakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di premisnya segera didakwa di mahkamah.

"Kes sudah disiasat oleh polis, kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada 11 Ogos lalu. Maka, kita desak agar pemilik kedai perkakasan ini segera didakwa di mahkamah.
"Kita mahu pendakwaan kes ini menjadi pengajaran kepada semua rakyat supaya tidak mempermainkan atau mengambil mudah pemasangan Jalur Gemilang," katanya ketika berucap pada perhimpunan berkenaan.
Muhamad Akmal turut menggesa kerajaan menggubal undang-undang untuk menjaga kehormatan lagu Negaraku, jata negara serta lambang negara, iaitu Jalur Gemilang.
"Kita juga memohon, jika tidak dapat digubal undang-undang baharu, sekurang-kurangnya pindaan dilakukan terhadap undang-undang sedia ada bagi mengenakan hukuman yang lebih berat.
"Kita hadir bukan sebagai pembuli. Kita hadir sebagai suara rakyat untuk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap perkara yang berlaku. Kita berharap suara rakyat ini didengar dan tidak dipandang remeh," tambahnya.
Beliau menegaskan isu tersebut tidak membabitkan soal bangsa.
"Ini bukan soal bangsa. Jika ia soal bangsa, sudah tentu saya tidak akan mengarahkan laporan dibuat terhadap ahli UMNO Terengganu kerana mereka Pemuda saya sendiri. Namun, kita konsisten dalam tindakan.
"Laporan itu telah dibuat semalam bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan. Jika terbukti wujud kesalahan yang disengajakan, pelaku mesti dikenakan hukuman yang jelas dan berat.
"Saya juga ingin bertanya kepada DAP dan MCA, adakah mereka telah membuat laporan berhubung insiden bendera yang dipasang terbalik, malah dirakam seolah-olah disengajakan? Saya sudah buat laporan, anda bagaimana?" katanya.
Perhimpunan itu bagaimanapun menjadi kecoh apabila sekumpulan individu memegang beberapa kad, antaranya bertulis “Jangan Bersikap Zionist” dan “Jangan Buli”.

Tiada tangkapan atau insiden tidak diingini berlaku selepas perhimpunan bersurai kira-kira setengah jam.
Ketua kumpulan terbabit, Zaid Malek berkata, kehadiran Muhamad Akmal bersama ratusan penyokong dilihat sebagai satu bentuk pembulian terhadap pemilik kedai perkakasan berkenaan.
Beliau yang juga Peguam dan Pengarah Lawyers For Liberty Malaysia berkata, status Muhamad Akmal sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi tekanan serta menimbulkan ketakutan kepada pemilik premis yang tidak mempunyai pengaruh dalam masyarakat.
"Dia datang dengan ramai penyokong, menekan pihak berkuasa untuk mendakwa pemilik premis. Itu satu bentuk pembulian.
"Mereka kata mustahil untuk pasang bendera salah. Kesilapan adalah lumrah kehidupan. Tiada provokasi dikeluarkan oleh pemilik kedai.
"Saya percaya, pemilik kedai ini takut. Dia tidak diberi peluang untuk menjelaskan apa yang berlaku. Ini tidak adil," ujarnya.
Mengulas kad bertulis “Jangan Bersikap Zionist”, Zaid berkata, ia simbolik kepada sikap penindasan kumpulan diketuai Muhamad Akmal.
"Tiada salah membawa kad bertulis perkataan Zionist. Orang yang ada kuasa menjadikan orang lain sebagai mangsa. Itu mentaliti Zionis iaitu menindas, dan konteks ini melibatkan tiga parti Melayu Islam terbesar terhadap seorang individu berbangsa Cina.
"Zionis adalah perbandingan penindasan yang paling sesuai dalam keadaan ini," tambahnya.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana, Kepala Batas yang didakwa sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik sehingga mendapat kecaman warganet.
Beberapa NGO dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, membuat laporan polis berhubung perkara itu.
Susulan kejadian, pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun ditahan di sekitar Kepala Batas pada malam Sabtu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 3 petang Ahad.
Seramai 10 orang telah diambil keterangan, dan polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
