X

Kindly register in order to view this article
!

Maklum polis jika ke negeri lain: KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media mengenai perintah Kawalan Pergerakan di Bukit Aman hari ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Orang ramai perlu memaklumkan kepada balai polis terdekat untuk mendapatkan surat perlepasan sekiranya ada keperluan untuk bergerak ke negeri lain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu berkuatkuasa serta- merta bermula tengah malam ini sehingga 31 Mac ini.

"Orang ramai perlu membawa dokumen sokongan ke balai polis untuk menunjukkan sebab mengapa mereka perlu melakukan perjalanan seperti melawat ahli keluarga yang sakit, kematian ahli keluarga dan lain-lain perkara atas budi bicara Ketua Polis Balai,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Abdul Hamid berkata, individu yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk ke negeri lain juga perlu memaklumkan kepada polis.

"Perkara itu hanya dikecualikan ke atas individu yang bekerja dalam perkhidmatan penting negara, namun mereka perlu mengemukakan pas pekerja kepada polis jika diminta," katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak akan melakukan sekatan jalan raya di sempadan negeri buat masa ini.

“Kita menggesa orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan terhadap perkara ini dengan memberi maklumat palsu untuk mendapatkan surat perlepasan untuk tujuan lain seperti bercuti," katanya.

Abdul Hamid turut menegaskan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bukan Perintah Berkurung (lockdown).

Menurutnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan adalah demi untuk keselamatan negara dan orang ramai.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dalam usaha untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bersabit Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang akan berkuat kuasa pada tengah malam ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya atau berita palsu yang menimbulkan keresahan dan kerisauan melampau (Perintah Kawalan Pergerakan yang menyamakan sebagai Perintah Berkurung),” katanya.

Semalam Perdana Menteri dalam Perutusan Khas menjelaskan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Penutupan ini melibatkan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!