[VIDEO] Ketua Balai Polis tak mengaku terima suapan RM31,400

A
A
A

KUANTAN - Seorang Ketua Balai Polis didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas 98 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM31,400 daripada beberapa individu, sejak 2021.

Tertuduh, Anuar Yaakob, 54 tahun, yang berpangkat sarjan mejar, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bapa kepada tiga anak itu, didakwa sebagai anggota polis yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sehingga kemudiannya ditugaskan sebagai Ketua Balai Polis Cherating telah menerima suapan daripada beberapa individu.

Anuar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas 98 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM31,400 daripada beberapa individu, sejak 2021.
Anuar (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan pada Khamis atas 98 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM31,400 daripada beberapa individu, sejak 2021.

Tertuduh didakwa menerima wang melalui transaksi perbankan atas talian yang dimasukkan dalam akaun miliknya berjumlah antara RM100 hingga RM2,000 di lima lokasi berbeza di sekitar daerah ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan oleh Anuar antara Januari 2021 sehingga Oktober 2022.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali, jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif dalam prosiding itu menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon agar wang jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh perlu menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak.

Hujahnya, selain itu, anak guamnya menjaga kedua ibu bapanya yang berusia 73 dan 76 tahun.

"Anak guam saya telah berkhidmat selama 33 tahun dalam PDRM (Polis Diraja Malaysia) dengan pendapatan bersih sebanyak RM3,000," jelasnya kepada mahkamah.

Mahkamah membenarkan Anuar dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Syarat tambahan turut ditetapkan oleh mahkamah iaitu tertuduh perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan bermula September sehingga selesai perbicaraan.

Tertuduh juga diperintahkan untuk tidak mengacau ganggu saksi-saksi pendakwaan sehingga perbicaraan selesai.

Kes ditetapkan pada 25 September sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.