Covid-19: Penduduk sempadan diminta akur arahan

Mohd Amar ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim hari ini.
Mohd Amar ditemui pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Seluruh penduduk di Kelantan terutama yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand diminta akur terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi susulan koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perintah dikeluarkan bertujuan mengawal penularan Covid-19 dan hanya berkesan dengan kerjasama penuh daripada segenap lapisan rakyat.

“Kerajaan hanya boleh keluarkan arahan dan yang melaksanakannya adalah orang ramai. Oleh itu semua diminta memberikan kerjasama serta ada kesedaran terhadap perkara ini.

“Isu ini bukan main-main sebab ini melibatkan keselamatan dan nyawa kita. Kita membaca laporan kematian di Itali, China serta sebagainya, perkara ini menakutkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabat di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh dua minggu perintah tersebut, semua premis perniagaan seperti di Wakaf Che Yeh dan pasar malam wajib ditutup selain penutupan premis-premis kerajaan negeri bermula esok.

“Arahan dikeluarkan atas nasihat dan pandangan doktor untuk menurunkan kadar jangkitan kerana apabila kita hadkan pergerakan berkumpulan jadi peluang untuk merebak jadi kecil.

“Pas juga sudah arahkan mengadakan sembahyang hajat secara masing-masing dan tidak akan buat secara besar-besaran kerana kita elakkan himpunan,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung pembelian panik yang berlaku di beberapa pasar raya di negeri ini, Mohd Amar berkata, beliau menyifatkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana situasi akan lebih terdedah kepada risiko jangkitan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam isu pembelian panik ini kita kena berhati-hati kerana keadaan belum sampai tahap itu, beli setakat keperluan beberapa hari sahaja. Jangan beli untuk stok sampai setahun atau sebulan, fikirkan orang lain memerlukan barangan seperti kita juga.

“Orang ramai berhimpun dan bersesak-sesak seperti yang berlaku di pasar raya menimbulkan risiko menyebabkan tersebarnya virus ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari mulai esok (18 Mac) hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara sebagai langkah membendung penularan Covid-19.