Pengkalan Kota paling padat penduduk - DOSM

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kota di Pulau Pinang merupakan DUN terkecil dengan kepadatan penduduk tertinggi berjumlah 21,061 orang dalam setiap kilometer persegi, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia diikuti Pandan Indah di Selangor dengan jumlah 14,686 orang dalam setiap kilometer persegi dan Sungai Pinang di Pulau Pinang dengan jumlah 13,851 orang dalam setiap kilometer persegi, lapor jabatan itu dalam siaran Statistik Subnasional DUN 2023 yang dikeluarkan hari ini.

DOSM memaklumkan tiga DUN yang mempunyai keluasan terbesar ialah Baleh, Sarawak dengan keluasan 11,607 kilometer persegi diikuti Belaga, Sarawak dengan keluasan 11,579 kilometer persegi dan Kuamut, Sabah dengan keluasan 10,954 kilometer persegi.

"Ini turut menjadikan Baleh dan Belaga sebagai DUN dengan kepadatan penduduk terendah iaitu seorang bagi setiap kilometer persegi,” menurut DOSM.

Jabatan itu memaklumkan, dua DUN di Pulau Pinang merekodkan jumlah penduduk terendah iaitu Padang Kota dengan 5,900 orang dan Komtar seramai 7,800 orang.

Bagi komposisi penduduk mengikut kumpulan etnik, DOSM memaklumkan pada 2022, kumpulan etnik Bumiputera merupakan kumpulan etnik tertinggi di tiga DUN di Terengganu iaitu Manir sebanyak 99.9 peratus manakala Permaisuri dan Langkap serta satu DUN di Perlis iaitu Santan, masing-masing merekodkan sebanyak 99.8 peratus kumpulan etnik Bumiputera.

Kumpulan etnik Cina pula mendominasi DUN Batu Lancang, Pulau Pinang dengan 85.2 peratus, diikuti Pasir Pinji, Perak dengan 81.3 peratus dan Pelawan, Sarawak dengan 81.1 peratus.

Kumpulan etnik India pula mendominasi DUN Buntong, Perak dengan 49.6 peratus diikuti Sentosa, Selangor dengan 38.0 peratus dan Jalong, Perak dengan 30.7 peratus, menurut DOSM. - Bernama