Malaysia-Australia beri komitmen terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Australia pada Rabu menyatakan komitmen terhadap Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) yang kekal sebagai tonggak keselamatan di rantau ini.
Menerusi kenyataan bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Australia Richard Marles memaklumkan, berpandukan prinsip itu, semua inisiatif masa hadapan akan menyatukan dan memperkukuhkan negara-negara ahli FPDA, dan maju bersama pada kadar yang disenangi oleh kesemua negara anggota.
"Kedua-dua menteri itu mengesahkan komitmen terhadap kepaksian ASEAN dalam pembinaan keselamatan serantau, termasuklah Kumpulan Kerja Pakar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM PLUS EWG).
"Mereka juga mengambil maklum kepentingan pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik, Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)," menurut kenyataan itu.