KKM, KPDN teruskan penguatkuasaan pemaparan harga ubat di fasiliti swasta

Penguatkuasaan pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti diteruskan menerusi lawatan pemeriksaan serta advokasi bagi tempoh dua bulan.
Penguatkuasaan pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti diteruskan menerusi lawatan pemeriksaan serta advokasi bagi tempoh dua bulan.
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan pelaksanaan pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti dengan pendekatan pemeriksaan serta advokasi sehingga 30 September 2025.

Dalam kenyataan bersama pada Ahad, kedua-dua kementerian memaklumkan sepanjang tempoh dua bulan ini, surat peringatan akan diberikan sekiranya terdapat ketidakpatuhan.

Menurut kenyataan itu, kompaun pula akan dikenakan terhadap kesalahan berulang bermula 1 Oktober 2025, manakala penguatkuasaan penuh akan dikuatkuasakan pada 1 Januari 2026.

"KKM dan KPDN turut mengambil maklum mengenai laporan berhubung tindakan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi oleh tujuh pertubuhan mewakili pengamal perubatan dan pergigian serta seorang pengamal perubatan swasta berkaitan keabsahan Perintah P.U.(A) 141/2025 tersebut.

"Namun begitu, sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada perintah mahkamah yang mengarahkan penangguhan pelaksanaan atau penguatkuasaan Perintah P.U. (A) 141/2025. Justeru, perintah tersebut kekal sah dan berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif itu telah bermula pada 1 Mei 2025 menerusi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U.(A) 141/2025] di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Jelasnya, pendekatan penguatkuasaan pendidikan telah dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan pertama yang berakhir pada 31 Julai lepas.

"Sepanjang tempoh tersebut, 842 fasiliti terdiri daripada klinik perubatan, pergigian dan hospital swasta serta farmasi komuniti telah diperiksa.

"Majoritinya telah melaksanakan inisiatif ini, dengan 57 peratus daripadanya mematuhi keperluan pemaparan harga ubat yang memuaskan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

KKM dan KPDN menegaskan bahawa kedua-dua kementerian kekal komited untuk melaksanakan inisiatif ini secara inklusif, berfasa dan berhemah.

"Ia bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna serta menyumbang kepada peningkatan ketelusan, akauntabiliti dan kepercayaan dalam sistem kesihatan negara," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!