[VIDEO] Jawatankuasa khas ditubuh siasat dakwaan libatkan KP SPRM

A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menyiasat segala dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

"Jemaah Menteri telah memutuskan supaya satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tan Sri Ketua Setiausaha Negara akan menyiasat dakwaan dan perkara-perkara yang telah dibangkitkan berkaitan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

"Setelah selesai siasatan, hasilnya akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Ini dalam usaha memastikan aspek ketelusan dan integriti proses siasatan," katanya pada sidang akhbar mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet.

Sebelum ini, sebuah portal antarabangsa melaporkan Azam dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.

Pada 11 Februari, Azam menafikan masih memegang saham dalam mana-mana syarikat dan menyifatkan laporan yang dikeluarkan media antarabangsa itu berniat jahat.

Susulan penyiaran laporan media antarabangsa itu, Azam mengarahkan peguamnya mengeluarkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg berhubung laporan yang disifatkannya sebagai 'mengelirukan' dan 'berunsur fitnah' sehingga mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, menjawab mengenai desakan lapan Ahli Parlimen PKR supaya kerajaan menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu, Fahmi menjelaskan hal tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
  • Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar
  • Keputusan pembentukan jawatankuasa ini dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Setelah selesai siasatan, hasilnya akan dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri
  • Azam Baki sebelum ini didakwa memiliki 17.7 juta saham di sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan telah menafikan dakwaan tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!