Langkah berperingkat papar harga ubat, semua pihak boleh sedia

Bermula 1 Januari 2026, semua klinik swasta dan farmasi di Malaysia diwajibkan memaparkan harga ubat secara terbuka. Foto hiasan
Bermula 1 Januari 2026, semua klinik swasta dan farmasi di Malaysia diwajibkan memaparkan harga ubat secara terbuka. Foto hiasan
A
A
A

MULAI 1 Januari 2026, semua klinik swasta dan farmasi di Malaysia diwajibkan untuk memaparkan harga ubat secara terbuka kepada pengguna.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mewujudkan sistem kesihatan yang lebih telus, berdaya saing dan mesra pengguna.

Selama bertahun-tahun, pesakit yang mendapatkan rawatan di sektor swasta sering kali tidak mengetahui harga sebenar ubat yang diberikan.

Kos rawatan kebiasaannya dibungkus secara ‘lump sum’ bersama caj konsultasi dan prosedur, menyebabkan ketelusan harga menjadi isu utama dalam kalangan pengguna.

Menyedari keperluan perubahan yang besar dan menyeluruh, kerajaan memilih untuk melaksanakan dasar ini secara berperingkat bagi membolehkan semua pihak bersedia dari aspek sistem, kefahaman serta keupayaan pelaksanaan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan inisiatif itu telah bermula pada 1 Mei 2025 menerusi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 [P.U. (A) 141/2025] di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].

Pendekatan penguatkuasaan secara pendidikan telah dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan pertama yang berakhir pada 31 Julai 2025.

Seterusnya, penguatkuasaan pendidikan bagi pemaparan harga ubat di kemudahan jagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti diteruskan menerusi lawatan pemeriksaan serta aktiviti advokasi bagi tempoh dua bulan, sehingga 30 September 2025.

Surat peringatan boleh dikeluarkan jika berlaku ketidakpatuhan, dan mulai 1 Oktober 2025, kompaun akan dikenakan bagi kesalahan yang berulang.

Artikel Berkaitan:

Penguatkuasaan penuh dasar ini akan bermula pada 1 Januari 2026.

Pendekatan secara berperingkat ini memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan sistem operasi dan melatih kakitangan, di samping memupuk kesedaran pengguna terhadap hak mereka.

Sekiranya dasar ini dilaksanakan dengan cekap dan konsisten, ia mampu memberi manfaat yang besar, termasuk meningkatkan kepercayaan terhadap sektor kesihatan swasta.

Dalam masa yang sama, ketelusan harga dijangka dapat memperkukuh keyakinan pengguna terhadap integriti perkhidmatan kesihatan swasta.

Apabila pesakit mengetahui kos sebenar ubat yang diberikan, mereka akan lebih selesa dan bersedia menerima rawatan di klinik dan farmasi swasta tanpa rasa ragu.

Pesakit berhak mengetahui butiran kos yang dikenakan kepada mereka, dan dasar ini membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih bijak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!