Kes Zara Qairina: 'Saya tidak ada 'anak buah' di sekolah dimaksudkan' - Armizan

[DIKEMAS KINI] KOTA KINABALU - Selepas beberapa individu yang didakwa sebagai orang kenamaan tampil mengeluarkan kenyataan penafian terlibat dalam kes Zara Qairina, kini giliran Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali pula menafikan beliau mempunyai anak saudara yang bersekolah di institusi berkenaan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Armizan menyelar tindakan seorang pemimpin Parti Warisan (Warisan) yang didakwa cuba mengaitkannya dengan kes kematian pelajar berkenaan.
"Jangan cuba berselindung di sebalik 'pertanyaan' untuk menularkan berita palsu dengan motif politik. Cara ini tidak dapat menyelesaikan kes, jauh sekali berlaku adil kepada arwah mangsa dan keluarga.
"Saya tidak ada 'anak buah' di sekolah yang dimaksudkan! Saya serahkan kepada kebijaksanaan pihak polis untuk buat tindakan yang sewajarnya.
"Buat laporan polis? Saya pun tidak tahu apa tindakan selanjutya kepada beberapa laporan berunsur fitnah terhadap saya yang telah dilaporkan sebelum ini sejak berbulan lalu.
"Saya maklum dan hormat akan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang perlu dipatuhi oleh pihak berkuasa dalam penyiasatan.
"Namun, adakah wajar dibiarkan mesej berunsur fitnah dan spekulasi mengaitkan orang-orang yang tidak berkenaan berlegar secara meluas," tulisnya.
Menurutnya, sesuatu tindakan wajar perlu diambil kerana dakwaan seumpama itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
Dalam hantaran tersebut, beliau turut memuat naik pautan serta tangkap layar kandungan yang didakwa mengaitkannya bagi tujuan rujukan pihak berkuasa.
Susulan itu, Setiausaha Politiknya, Ghazali Hajiji turut membuat laporan polis berhubung isu sama, yang turut dikongsikan menerusi Instagram miliknya.
Dalam kenyataan di media sosial, Ghazali menegur agar platform digital tidak disalahgunakan sebagai medan menyebarkan fitnah atau kenyataan berunsur spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham orang awam.
"Untuk makluman, anak Menteri KPDN, Datuk Armizan tidak bersekolah di sekolah tersebut.
"Sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri KPDN, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan fitnah dan tuduhan palsu ini tidak terus tersebar dengan penafian yang jelas," tulisnya pada Jumaat.
Ghazali turut menegaskan bahawa tindakan menabur fitnah pada saat keluarga mangsa sedang berdepan ujian besar adalah tidak berperikemanusiaan.
"Ketika keluarga Allahyarhamah Zara Qairina sedang melalui dugaan yang amat berat, tidak perlulah ada pihak yang mengambil kesempatan menabur fitnah demi memburukkan imej seseorang di khalayak bagi tujuan politik.
"Landskap politik di Sabah ini cukup matang, tidak perlu kita pergi begitu rendah sehingga ke tahap ini. Cukup-cukuplah, kita lebih baik daripada ini.
"Kepada yang membuat fitnah ini, laporan saya ini supaya pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan sewajarnya," katanya.
Sebelum itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dan Istana Seri Kinabalu turut mengeluarkan penafian rasmi apabila timbul spekulasi yang cuba mengaitkan mereka dengan insiden menimpa Zara Qairina Mahathir, 13, yang dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar.
Kematian pelajar itu menarik perhatian meluas, khususnya di media sosial, susulan pelbagai spekulasi timbul selepas dua minggu kejadian berlaku tanpa sebarang perkembangan rasmi daripada pihak berkuasa.
Antara spekulasi yang tersebar termasuklah dakwaan kononnya individu berprofil tinggi mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, sekali gus menjadi punca siasatan dilihat bergerak perlahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
