Nelayan ingkar peraturan, bot tanpa nombor pendaftaran, lesen sah dikesan

SHAH ALAM – Tidak mempunyai nombor pendaftaran dan lesen nelayan yang sah antara kesalahan dikesan dalam pelaksanaan Operasi MARDOF Siri 2 Bilangan 1 yang dilaksanakan sepanjang 6 hingga 13 Februari lalu di perairan Selangor.
Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi bersepadu antara DOF dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor bertujuan memastikan pematuhan komuniti nelayan terhadap undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985 selain memperkukuh penguatkuasaan maritim secara bersama.
"Sepanjang operasi dilaksanakan, sebanyak 65 pemeriksaan atau penggeledahan dijalankan di laut dan dua pemeriksaan darat.
"Daripada jumlah itu, tujuh tangkapan dibuat membabitkan enam kes pelanggaran syarat lesen manakala satu kes melibatkan bot tanpa lesen dan tiada nombor pendaftaran,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini pada Jumaat.
Katanya, operasi bersepadu itu turut mengesan beberapa kesalahan lain termasuk kegagalan mematuhi zon penangkapan ikan serta penggunaan peralatan menangkap ikan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.
"Selain itu, terdapat juga kes penggunaan mata pukat keroncong kurang daripada saiz minimum 38 milimeter yang boleh menyebabkan benih ikan turut tertangkap sekali gus menjejaskan kelestarian sumber perikanan negara.
"Turut dikesan kegagalan memastikan penggunaan sistem pemantauan vesel seperti Automatic Identification System (AIS) dan Mobile Transceiver Unit (MTU) berada pada tahap keaktifan ditetapkan bagi tujuan pembaharuan lesen," katanya.
Menurutnya, dalam satu kes berasingan, sebuah bot nelayan tempatan turut ditahan.
"Antara kesalahan dikesan adalah tidak mempunyai lesen penangkapan ikan serta tiada nombor pendaftaran sah membabitkan tiga nelayan tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun," katanya.
Mengulas lanjut, Noraisyah berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara berkala sebagai platform strategik antara kedua-dua agensi bagi memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan sentiasa terpelihara.
"Dapatan operasi turut menunjukkan perkembangan positif apabila majoriti pengusaha vesel dan nelayan mematuhi syarat lesen serta peraturan ditetapkan jabatan.
"Sekiranya pematuhan dibuat sepenuhnya, nelayan tidak perlu bimbang untuk meneruskan aktiviti penangkapan ikan sama ada ketika operasi bersepadu atau rondaan biasa dijalankan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, sepanjang tempoh operasi sebanyak tujuh aset digerakkan melibatkan dua kapal dan tiga bot Maritim Malaysia serta dua bot milik Jabatan Perikanan Selangor.
Beliau berkata, pihaknya turut menahan seramai 14 kru warga asing berusia antara 24 hingga 51 tahun kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah membabitkan lima warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar.
"Kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama rentas agensi dalam menangani aktiviti penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal (IUU Fishing).
"Kami tidak akan berkompromi dalam memastikan sumber laut negara terpelihara dan aktiviti perikanan dijalankan mengikut lunas undang-undang serta etika yang ditetapkan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah rentas sempadan dan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan di perairan negara.
Ringkasan AI
- Tidak ada lesen nelayan yang sah dan nombor pendaftaran adalah antara kesalahan utama dikesan
- Operasi MARDOF bersepadu antara DOF dan Maritim Selangor dilaksanakan untuk memastikan pematuhan undang-undang
- Sebanyak 65 pemeriksaan dijalankan dengan tujuh tangkapan dibuat
- Kesalahan lain termasuk kegagalan mematuhi zon penangkapan dan penggunaan peralatan menangkap ikan tidak mematuhi spesifikasi
- Operasi dilaksanakan secara berkala untuk memastikan pematuhan undang-undang dan keselamatan perairan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

