'Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni' - Ibu dedah Zara Qairina diugut 'Kak M'

KOTA KINABALU - Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, telah membuat satu lagi laporan polis tambahan supaya kes kematian anaknya disiasat secara teliti.
Laporan polis tersebut dibuat selepas Noraidah Lamat, 45, mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Allahyarham yang memaklumkan terdapat pelajar senior sering menganggunya.
Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakilinya, iaitu Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.
"Pada 30 Julai 2025, anak guam kami telah memfailkan satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.
"Ini kerana beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang mana anaknya memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu atau membulinya.
"Antaranya ialah 'Kak M' yang pernah mengugut Zara dengan berkata 'kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni," katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan tersebut, dalam laporan polis yang dibuat Noraidah menyatakan keraguannya mengenai punca kematian Zara Qairina yang kononnya jatuh dari tingkat tiga bangunan.
"Wajah Zara tidak mempunyai kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkait dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.
"Ini ditambah lagi dengan tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis," katanya.
Sehubungan itu, peguam yang mewakili Noraidah berkata, anak guam mereka berpendapat bahawa pihak polis sepatutnya melakukan bedah siasat terhadap mayat remaja itu bagi membantu siasatan.
"Ini kerana tidak ada bedah siasat dilakukan terhadap mayat Zara sebelum beliau dikebumikan. Bedah siasat akan membantu siasatan pihak polis dalam menentukan punca sebenar kematian Zara.
"Dalam laporan polisnya, anak guam kami memohon agar kubur Zarar digali semula bagi tujuan inkues," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
