Maritim Malaysia bantu bot nelayan tempatan ditahan TNI-AL

SHAH ALAM – Sebuah bot nelayan tempatan dibawa pulang ke perairan negara selepas ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki memasuki perairan negara jiran dalam kejadian pada Rabu.
Insiden itu berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila bot yang dikendalikan tiga awak-awak warga Indonesia ditahan oleh Angkatan Laut Tentera Nasional Indonesia (TNI-AL) selepas dipercayai melepasi sempadan perairan negara.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Selangor, Komander Maritim Mohd Fairusnizam Abdul Razak berkata, Kapal Maritim (KM) Bagan Datuk digerakkan ke lokasi kejadian susulan permohonan bantuan aset oleh Maritim Malaysia Perak bagi menyokong operasi berkenaan.
Menurutnya, kapal terbabit tiba di lokasi kira-kira jam 3 pagi sebelum rundingan segera diadakan bersama pihak penguat kuasa Indonesia.
"Siasatan mendapati bot nelayan tempatan itu dikendalikan tiga awak-awak warga Indonesia dan dipercayai telah memasuki perairan Indonesia secara tidak sengaja.
"Hasil rundingan yang dijalankan secara profesional dan berhemah, pihak penguat kuasa Indonesia bersetuju melepaskan bot berkenaan sebelum ia diiring pulang dengan selamat ke perairan Malaysia,” katanya pada sidang akhbar Op MARDOF di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini pada Jumaat.
Katanya, kejadian berkenaan berlaku di perairan Perak namun bantuan aset dari Selangor dihantar bagi memenuhi keperluan operasi di kawasan terbabit.
Ketika ini, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti jarak sebenar dan faktor yang menyebabkan bot berkenaan boleh tersasar sehingga melepasi sempadan perairan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, komuniti nelayan diingatkan supaya lebih berwaspada dan memastikan tidak menangkap hasil laut sehingga memasuki perairan negara lain.
"Setiap nelayan tempatan telah dibekalkan dengan peralatan pemantauan seperti Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dan peranti pengesan satelit (MTU) bagi tujuan pengesanan serta pemantauan kedudukan bot di laut.
"Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir nelayan yang mematikan peralatan tersebut ketika berada di laut dan hanya mengaktifkannya semula apabila tiba di jeti,” katanya.
Beliau menegaskan, berdasarkan syarat lesen, kapal nelayan diwajibkan mengaktifkan AIS atau MTU sekurang-kurangnya 80 peratus sepanjang operasi dan sebarang kerosakan peralatan perlu disahkan oleh pihak vendor.
Tambahnya, pematuhan terhadap syarat berkenaan penting bagi mengelakkan kejadian bot tempatan tersasar ke perairan asing daripada berulang.
Ringkasan AI
- Bot nelayan tempatan dibawa pulang ke perairan Malaysia selepas ditahan di perairan Indonesia
- Insiden berlaku disebabkan bot tersasar dan dikendalikan oleh tiga warga Indonesia
- Rundingan bersama penguat kuasa Indonesia membolehkan pembebasan bot tersebut
- Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti faktor penyebab bot tersasar
- Nelayan tempatan diingatkan untuk menggunakan peralatan pemantauan dengan betul bagi mengelakkan insiden serupa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

