Ibu serah kepada peguam beri penjelasan hasrat gali semula kubur Zara Qairina

KOTA KINABALU - Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, menyerahkan sepenuhnya kepada peguam bagi memberikan penjelasan berhubung hasrat menggali semula kubur anak tunggalnya itu bagi tujuan bedah siasat.
Noraidah Lamat, 45, sebelum ini menyuarakan keinginan tersebut bagi merungkai segala persoalan yang masih menghantui dirinya berkaitan punca sebenar kematian anaknya.
“Boleh berurusan dengan peguam. Sekarang ini, tanya saja dengan peguam,” katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian, merujuk kepada peguamnya, Hamid Ismail.
Hamid ketika dihubungi memaklumkan satu kenyataan media rasmi akan dikeluarkan pada jam 1.30 tengah hari ini bagi menjelaskan perkara berkenaan dengan lebih terperinci.
Terdahulu, menurut laporan sebuah media tempatan, Noraidah mengarahkan dua peguam untuk menguruskan proses penggalian semula kubur anaknya bagi tujuan bedah siasat.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Sabah.
Sejak insiden itu, kematiannya menarik perhatian ramai hingga mencetuskan gelombang solidariti di media sosial menerusi tanda pagar #JusticeForZara yang menuntut siasatan dijalankan secara telus dan adil.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, memaklumkan bahawa siasatan masih berjalan dan setakat ini seramai 60 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Antaranya termasuk tiga pelajar yang tular di media sosial dikenali sebagai 'Kak Wana', 'Kak Dedeng' dan 'Tomboi', yang disahkan wujud dan dikaitkan dengan kes tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

