Kematian Zara Qairina: Tidak ada 'plot twist' - Peguam

Kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas sehingga tercetusnya gelombang tanda pagar #JusticeForZara
Kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas sehingga tercetusnya gelombang tanda pagar #JusticeForZara
A
A
A

KOTA KINABALU - Peguam mewakili ibu Zara Qairina Mahathir, 13, menafikan tuduhan bahawa kematian pelajar tersebut disebabkan ibunya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan peguam, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata, tuduhan terhadap Noraidah Lamat, 45, itu adalah tidak benar.

"Ini adalah satu fitnah jahat kepada anak guam kami. Tidak ada 'plot twist' dalam kes ini.

"Kami menasihatkan netizen agar tidak membuat sebarang fitnah terhadap mana-mana individu berkaitan dengan kematian Zara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, pasukan peguam meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya dapat membantu siasatan pihak polis.

"Sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan polis, sila salurkan maklumat itu kepada pihak polis atau kepada kami," katanya.

Dalam kenyataan sama, barisan peguam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua individu dan organisasi yang telah menularkan kes tersebut demi mencapai keadilan buat Allahyarham Zara Qairina.

"Kami sebagai peguam bagi Puan Noraidah iaitu ibu kepada Allayarham Zara Qairina yang telah meninggal dunia pada 17 Julai 2025 mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap nasib yang menimpa anak guam kami.

"Kematian Zara adalah satu tragedi. Apatah lagi tragedi tersebut berlaku di dalam kawasan asrama sekolah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama di sebuah sekolah di Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian Zara Qairina mendapat liputan meluas sehingga tercetusnya gelombang tanda pagar #JusticeForZara berlegar di media sosial sebagai solidariti supaya siasatan terhadap kematiannya dilakukan dengan telus dan adil.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun setakat ini mendedahkan seramai 60 individu telah memberi keterangan termasuk tiga nama yang tular di media sosial iaitu Kak Wana, Kak Dedeng dan Tomboi.

Ketiga-tiga nama tersebut disahkan wujud dan merupakan pelajar di sekolah itu serta dikaitkan dengan kematian remaja tersebut.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!