Polis siasat video fitnah kaitkan Raja Di Hilir Perak

IPOH – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan kandungan berunsur fitnah, palsu dan mencemarkan nama baik Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kertas siasatan telah dibuka selepas menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun pada 24 Julai lalu.
“Siasatan awal mendapati tiada sebarang upacara pertabalan yang akan diadakan pada 7 Ogos ini di mana-mana istana negeri Perak.
“Selain itu, tiada sebarang pemberian insentif berjumlah RM800 kepada rakyat seperti yang didakwa dalam video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Abang Zainal Abidin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan fitnah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kandungan video berkenaan yang boleh menjejaskan siasatan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
