[VIDEO] Fitnah Rosmah amal ilmu hitam, pemilik akaun TikTok diperintah bayar RM100,000
KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa memerintahkan pemilik akaun TikTok membayar RM100,000 kepada Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kenyataan fitnah, mendakwa isteri bekas Perdana Menteri terbabit mengamalkan ilmu hitam, dua tahun lalu.
Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Rosmah, 74, kerana Ku Muhammad Hilmie Ku Din, 35, gagal memasukkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman berkenaan pada tarikh ditetapkan.
Ia susulan mahkamah membenarkan permohonan Rosmah selepas memperoleh penghakiman ingkar terhadap Ku Muhammad Hilmie sebagai defendan pada 28 Mei tahun, kerana lelaki gagal memasukkan saman pada tarikh ditetapkan.
Semasa membaca keputusan dalam prosiding taksiran ganti rugi yang dibuat secara dalam talian Zoom, hakim ini berkata, Rosmah selaku plaintif berjaya membuktikan kelayakannya untuk menerima ganti rugi akibat fitnah itu.
“Setelah menimbangkan semua pertimbangan tersebut, mahkamah ini berpendapat bahawa jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000 bagi ganti rugi am dan ganti rugi teruk merupakan suatu penilaian yang adil serta seimbang.
“Tuntutan bagi ganti rugi teladan tidak dibenarkan memandangkan tiada keterangan kukuh yang dikemukakan di hadapan mahkamah ini bagi menyokong dakwaan tersebut,” katanya.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah penghakiman bermula dari tarikh keputusan mahkamah ini sehingga penyelesaian penuh.
Hakim, Ahmad Shahrir turut mengarahkan Ku Muhammad Hilmie membayar kos sebanyak RM20,000 kepada Rosmah.

Mengenai kenyataan fitnah berkenaan, beliau mendapati kenyataan fitnah yang dilemparkan terhadap Rosmah menggambarkan isteri bekas Presiden UMNO itu seolah-olah terlibat dalam amalan ghaib.
“Ini merupakan satu serangan terhadap wataknya dari sudut integriti agama dan kedudukan moral.
“Dalam konteks masyarakat yang menitikberatkan nilai agama dan adab moral, dakwaan sedemikian sangat serius dan berpotensi mencemarkan reputasi seseorang secara nyata,” katanya.
Walaupun Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta bagi kes rasuah, namun Hakim itu berkata, mahkamah membuat penilaian ganti rugi tanpa mengira sabitan kes solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak itu.
“Ini kerana ia tidak relevan bagi konteks tuntutan fitnah yang dibuat defendan,” kata hakim itu.
Dalam prosiding ini, Rosmah diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Mohamed Baharuden Mohamed Ariff.
Pada 19 September 2023, Rosmah mengemukakan saman menerusi Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak dan menuntut Ganti rugi RM1 juta daripada Ku Muhammad Hilmie berhubung kenyataan fitnah terbabit.
Menerusi afidavit sokongan, Rosmah menamakan Ku Muhammad Hilmie, selepas lelaki yang mempunyai seramai 1,584 pengikut itu, memuat naik satu rakaman video akaun TikTok menggunakan nama 'CEO Heelmie Fighter' mengandungi kenyataan tidak benar pada 22 Mac tahun sama.
Rosmah berkata, jumlah ganti rugi itu wajar memandangkan kenyataan fitnah tersebut telah memusnahkan kredibiliti, nama baik dan reputasinya.
Beliau memohon, ganti rugi itu mengambil kira status, latar belakang, pencapaiannya selain mempertimbang reputasi sebagai figura yang dikenali serta penaung kepada beberapa badan amal di negara ini telah tercalar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

