'Jangan tunggu ada lagi Zara yang lain...' - Bella Astillah

PELAKON dan penyanyi, Bella Astillah, meluahkan rasa sedih dan marah susulan kejadian tragis menimpa remaja perempuan, Zara Qairina, 13, yang dilaporkan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah di Sabah, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah menyuarakan kekesalannya terhadap insiden yang dikaitkan dengan kes buli sehingga meragut nyawa anak kecil yang masih bersekolah.
“Adik Zara Qairina, 13 tahun, anak Sabah, perginya dalam keadaan penuh tanda tanya. Dikatakan dibuli, disakiti, tetapi sampai hari ini belum ada siapa yang tampil bertanggungjawab.
“Bayangkan... anak kecil, jauh dari keluarga, menghadapi semuanya seorang diri. Kenapa sampai begini baru kita mula buka mata? Takkan kita mahu biarkan sahaja apatah lagi melibatkan nyawa,” luahnya secara emosi.
Menurut Bella, pihak yang bertanggungjawab memantau keselamatan pelajar asrama wajar dipersoal kerana ibu bapa telah menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada institusi tersebut untuk menjaga anak mereka.
“Siapakah orang yang sepatutnya bertanggungjawab memantau mereka di asrama? Di mana letaknya perikemanusiaan kamu semua?” katanya.
Sebagai seorang ibu dan anak jati Sabah, Bella mengakui hatinya luluh apabila membaca berita menyayat hati mengenai adik Zara yang didakwa menjadi mangsa buli, namun sehingga kini masih belum terbela nasibnya.
“Tepuk dada tanya selera. Kalau ini berlaku pada anak kita sendiri, sanggupkah kita berdiam? Seorang anak kecil, di usia muda begitu, terpaksa menanggung penderitaan yang tidak sepatutnya.
“Buli bukan hal remeh. Jangan kita diam. Jangan tunggu ada lagi Zara yang lain,” katanya.
Dalam hantaran sama, pelatun Lebih Indah Berpisah itu turut menyeru para ibu bapa agar lebih cakna terhadap perubahan sikap anak-anak, malah sentiasa meluangkan masa untuk mendengar keluh kesah mereka tanpa prejudis.
“Tolonglah bha pantau anak-anak kita. Dengarkan mereka. Didik mereka supaya jadi manusia yang ada empati, bukan yang kejam.
“Zara bukan sekadar nama dalam berita. Dia adalah anak kita juga. Kita gagal bila anak-anak terbiar dalam sistem yang membutakan hati dan menutup kebenaran,” ujarnya.
Di akhir hantaran, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mendoakan agar keadilan dapat ditegakkan dan roh adik Zara ditempatkan dalam kalangan insan beriman.
Ketika ini tular di media sosial mengenai kisah Zara Qairina yang dikatakan menjadi mangsa buli sebelum ditemui meninggal dunia akibat jatuh dari bangunan.
Keluarga mangsa bagaimanapun menolak kemungkinan arwah bertindak mengambil nyawanya sendiri, sebaliknya mengesyaki perbuatan jenayah. Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

