Kes Zara Qairina: 60 individu termasuk 'Kak Wana, Kak Dedeng dan tomboi' dipanggil polis

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seramai 60 individu termasuk tiga nama didedahkan di media sosial, iaitu 'Kak Wana, Kak Dedeng dan tomboi' telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar, baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan kini telah berada di peringkat akhir yang mana kira-kira 60 saksi telah dirakam percakapan dan beberapa keterangan lain juga turut diambil.
"Buat masa sekarang kertas siasatan telah kita bawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.
"60 saksi ini melibatkan pelajar, ibu bapa dan kakitangan sekolah. Itu juga telah diambil kenyataan (tiga nama didakwa di media sosial), setakat ini (nama didakwa) memang ada, sebagai pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Khamis.
Sebelum itu, kes yang mendapat perhatian seluruh negara terutama di media sosial mendedahkan tiga nama dikenali sebagai 'Kak Wana, Kak Dedeng dan tomboi' dikaitkan dengan kematian remaja tersebut.
Mengulas lanjut, Jauteh tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut.
"Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.
"Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan ini (dakwaan buli) berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan,” ujarnya.
Ditanya berhubung dakwaan kononnya kes itu melibatkan anak atau ahli keluarga orang kenamaan, termasuk dirinya sendiri, beliau menafikannya dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak sihat.
"Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak-anak VIP (orang kenamaan) yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri, saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.
"Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan (jika ada anak wakil rakyat) sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu, kita tidak membuat siasatan berkaitan ini anak siapa, ini anak siapa, tapi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai anak yang pernah dan sedang bersekolah di sana, tidak ada anak saya di sana.
"Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini," tegasnya.
Mengulas persoalan orang ramai bahawa siasatan kes itu mengambil masa yang lama, Jauteh menjelaskan bahawa ketelusan dan profesionalisme dalam siasatan menjadi keutamaan, terutama apabila melibatkan pelajar yang sedang melalui tekanan emosi.
"Netizen mahukan satu ketelusan siasatan, satu siasatan yang menyeluruh, itu sebab kita mengambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan melibatkan 60 saksi dan semua saksi ini pun kita tidak dapat secara terus.
"Kita kena memikirkan bahawa saksi-saksi ini merupakan pelajar di sekolah itu yang hanya mungkin melihat atau mendengar atau berkawan dengan mangsa.
"Jadi kalau kita buat siasatan secara tidak profesional, sudah tentu ini akan menambahkan trauma mereka terhadap keadaan yang ada ketika ini. Itu sebab kita buat secara adil dan profesional kepada semua pihak sebab kita bukan melihat kepada satu arah. Kita juga melihat kepada semua pelajar yang kita ambil sebagai saksi atau keterangannya, emosi mereka ini juga perlu kita ambil perhatian," katanya.
Tambah beliau, kejadian berlaku pada 16 Julai dan keesokan harinya pelajar berkenaan meninggal dunia dan susulan itu, siasatan segera digerakkan dengan bantuan pasukan khas dari IPK Sabah.
"Saya telah membuat perbincangan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, berkaitan dengan kes ini dan pada 18 Julai, beliau telah menghantar satu pasukan khas daripada pihak IPK untuk membantu siasatan ke atas kes ini sehinggalah mengambil beberapa hari untuk menyiapkan kertas siasatan.
"Sebab kita sendiri sedia maklum pelajar-pelajar ini dalam keadaan yang trauma. Jadi pihak siasatan ini juga dibantu oleh pakar-pakar kaunseling untuk membolehkan mereka dapat menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku.
"Seperti yang saya nyatakan tadi bahawa kertas siasatan ini telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian dan juga kajian menyeluruh.
"Jadi pada ketika ini kita serahkan kepada pihak Bukit Aman untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan dengan siasatan kes ini sebagai pihak yang lebih tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga yang mempunyai kemahiran-kemahiran berbanding dengan apa yang ada di Sabah ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
