Kematian Zara Qairina: Polis tidak tolak kemungkinan wujud unsur buli

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Polis Sabah tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kes Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah agama di Papar, yang meninggal dunia sehari selepas insiden terjatuh dari bangunan yang dilaporkan berlaku di kawasan asrama sekolah berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan ketika ini menjurus kepada dua elemen berkaitan.
"Sekarang ini siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran.
"Kita tidak menolak kemungkinan dakwaan ini (dakwaan buli) berdasarkan kepada siasatan yang kita laksanakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada siasatan kes turut mengambil kira kemungkinan wujudnya unsur buli susulan dakwaan yang tular di media sosial.
Sementara itu, ditanya berhubung dakwaan kononnya kes itu melibatkan anak atau ahli keluarga orang kenamaan, termasuk dirinya sendiri, beliau menafikannya dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak sihat.
"Berkaitan dengan dakwaan bahawa ada anak-anak VIP (orang kenamaan) yang bersekolah di sana termasuk diri saya sendiri, saya nyatakan di sini bahawa tidak pernah ada anak saya yang bersekolah di sekolah itu.
"Saya tidak dapat mengetahui secara keseluruhan (jika ada anak wakil rakyat) sebab ramai pelajar di situ. Jadi yang itu, kita tidak membuat siasatan berkaitan ini anak siapa, ini anak siapa, tapi saya tegaskan bahawa saya tidak mempunyai anak yang pernah dan sedang bersekolah di sana, tidak ada anak saya di sana.
"Jadi ini bererti bahawa ada netizen yang sengaja menimbulkan sesuatu yang tidak sihat kepada perkara ini," tegasnya.
Jauteh turut menjelaskan bahawa pihak boleh turut mengambil kira ketelusan dan profesionalisme dalam memgendalikan siasatan tersebut.
Selain itu katanya, turut menjadi keutamaan adalah pelajar yang diambil keterangan yang mungkin sedang melalui tekanan emosi.
"Netizen mahukan satu ketelusan siasatan, satu siasatan yang menyeluruh, itu sebab kita mengambil sedikit waktu untuk menyiapkan siasatan melibatkan 60 saksi dan semua saksi ini pun kita tidak dapat secara terus.
"Kita kena memikirkan bahawa saksi-saksi ini merupakan pelajar di sekolah itu yang hanya mungkin melihat atau mendengar atau berkawan dengan mangsa.
"Jadi kalau kita buat siasatan secara tidak profesional, sudah tentu ini akan menambahkan trauma mereka terhadap keadaan yang ada ketika ini
"Itu sebab kita buat secara adil dan profesional kepada semua pihak sebab kita bukan melihat kepada satu arah. Kita juga melihat kepada semua pelajar yang kita ambil sebagai saksi atau keterangannya, emosi mereka ini juga perlu kita ambil perhatian," katanya.
Tambah beliau, satu pasukan khas dari IPK Sabah telah dihantar untuk melakukan siasatan berhubung kes tersebut.
"Kejadian berlaku pada 16 Julai dan keesokan harinya pelajar berkenaan meninggal dunia. Saya telah membuat perbincangan dengan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, berkaitan dengan kes ini.
"Pada 18 Julai, beliau telah menghantar satu pasukan khas daripada pihak IPK untuk membantu siasatan ke atas kes ini sehinggalah mengambil beberapa hari untuk menyiapkan kertas siasatan.
"Sebab kita sendiri sedia maklum pelajar-pelajar ini dalam keadaan yang trauma. Jadi pihak siasatan ini juga dibantu oleh pakar-pakar kaunseling untuk membolehkan mereka dapat menceritakan apa sebenarnya yang telah berlaku.
"Seperti yang saya nyatakan bahawa kertas siasatan ini telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian dan juga kajian menyeluruh," katanya.
Sehubungan itu, Jauteh menegaskan bahawa pihaknya telah menyerahkan kertas siasatan kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
"Jadi pada ketika ini kita serahkan kepada pihak Bukit Aman untuk memberikan pandangan lanjut berkaitan dengan siasatan kes ini sebagai pihak yang lebih tinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga yang mempunyai kemahiran-kemahiran berbanding dengan apa yang ada di Sabah ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
