Kes sita akaun Bersatu: Keputusan semakan kehakiman 1 Mac ini

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan 1 Mac untuk memutuskan permohonan semakan kehakiman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembekuan dan penyitaan dua akaun bank parti itu.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar hujahan daripada peguam Chetan Jethwani mewakili Bersatu, dan Peguam Persekutuan Kanan Nurhafizza Azizan yang mewakili kerajaan dan SPRM.
Terdahulu, Chetan berhujah bahawa siasatan dan tuduhan jenayah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah peribadi dan tidak berkaitan dengan Bersatu.
Sementara itu, Nurhafizza dalam hujan balas berkata, siasatan dan tuduhan jenayah terhadap Muhyiddin adalah atas kapasiti sebagai presiden Bersatu, kerana beliau menguruskan akaun parti itu, selaras dengan Seksyen 51(2) Akta Pertubuhan 1966.
Beliau berkata, di bawah peruntukan itu, pegawai dan mereka yang terlibat dalam pengurusan sesuatu pertubuhan boleh didakwa walaupun mereka tidak terlibat secara langsung dalam kesalahan berkenaan.
Pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan semakan kehakiman untuk Bersatu mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun bank parti itu.
Permohonan itu difailkan Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya, sebagai pegawai awam Bersatu pada 29 Mei 2023.
Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu), Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.
Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Parti itu juga mendakwa bahawa SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April 2023 menyatakan kedua-dua akaun telah disita pada 11 April 2023, namun Bersatu tidak pernah dimaklumkan mengenai penyitaan pada tarikh berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi menetapkan 1 Mac untuk memutuskan permohonan semakan kehakiman Bersatu terhadap SPRM berhubung pembekuan dan penyitaan dua akaun bank
- Chetan berhujah siasatan dan tuduhan jenayah terhadap Muhyiddin Yassin adalah peribadi dan tidak berkaitan dengan Bersatu
- Nurhafizza menyatakan siasatan dan tuduhan terhadap Muhyiddin berkaitan kapasitinya sebagai presiden Bersatu yang menguruskan akaun parti
- Permohonan semakan kehakiman difailkan oleh Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya pada 29 Mei 2023
- Bersatu mendakwa akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan mengikut AMLATFPUAA 2001
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
