Mayat budak dalam belukar: IPD Jempol akan mohon sambung reman bapa

Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung penahanan reman suspek bagi membantu siasatan.
Laporan Sinar Harian sebelum ini berhubung penahanan reman suspek bagi membantu siasatan.
A
A
A

JEMPOL – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol akan membuat permohonan untuk menyambung reman bapa kepada kanak-kanak lelaki yang mayatnya ditemui ditanam di kawasan Rompin di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, permohonan reman terhadap suspek berusia 36 tahun itu akan dibuat di Mahkamah Bahau pada Jumaat berikutan tempoh remannya di Johor telah berakhir pada Khamis.

Menurutnya, permohonan menyambung reman tersebut dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di peringkat IPD Jempol pula.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dilaporkan hilang di Johor Bahru sebelum mayatnya ditemui ditanam di kawasan belukar di Rompin.

Susulan penemuan tersebut, bapa kepada kanak-kanak berkenaan telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.

Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian, namun, berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai berdepan masalah rumah tangga dan sedang dalam proses perceraian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof pula dilaporkan berkata, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dengan tekanan pada leher akibat dijerut menggunakan pengikat kabel.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan pula memaklumkan bahawa suspek akan diserahkan kepada IPD Jempol hari ini bagi tujuan siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Tangkapan ke atas suspek dibuat pada 24 Julai lalu dan direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu berhubung kehilangan anaknya,” katanya.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!