Mayat budak dalam belukar: Bapa direman, dakwa anak hilang ketika ditinggal beli makanan

Laporan Sinar Harian pada Isnin berkenaan kanak-kanak hilang di Johor Bahru ditemui mati, mayat ditanam dalam belukar
Laporan Sinar Harian pada Isnin berkenaan kanak-kanak hilang di Johor Bahru ditemui mati, mayat ditanam dalam belukar
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang bapa yang membuat laporan anaknya hilang ketika ditinggalkan sebentar dalam kereta untuk membeli makanan pada minggu lalu, kini direman tujuh hari selepas polis menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki yang ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, lelaki tempatan berusia 36 tahun itu membuatkan laporan mengenai kehilangan anak lelakinya yang berusia enam tahun pada jam 2.15 pagi pada Khamis.

Menurutnya, laporan dibuat bapa terbabit mengenai kehilangan anaknya sekitar jam 6 petang di kawasan Bukit Indah pada Rabu.

"Pengadu mendakwa mangsa telah hilang semasa ditinggalkan seorang diri di dalam kereta yang diparkir di kawasan tersebut untuk membeli makanan.

“Tangkapan ke atas bapa kepada kanak-kanak yang hilang itu telah dibuat pada Khamis.

"Lelaki terbabit kini sedang ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tempoh tujuh hari sehingga 31 Julai,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, hasil siasatan lanjut terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di kawasan Rompin, Negeri Sembilan pada Isnin.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif dadah.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Jelas beliau, siasatan lanjut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Polis Daerah Iskandar Puteri akan meneruskan siasatan dari aspek laporan palsu oleh suspek berhubung kehilangan anaknya di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan, Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak kira-kira jam 4.30 petang, Isnin.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian awal berlaku di Johor Bahru yang mana seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dilaporkan hilang di Taman Bukit Indah pada 24 Julai lalu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!