Spa saji 'layanan' wanita warga asing diserbu

KUALA LUMPUR – Sebuah spa di Bukit Bintang di sini yang dipercayai menawarkan khidmat wanita warga asing untuk aktiviti tidak bermoral diserbu pada Rabu.
Serbuan Op Gegar kira-kira jam 5.30 petang itu dijalankan sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.
Semasa serbuan terdapat beberapa cubaan wanita disyaki pekerja spa terbabit bersembunyi dan melarikan diri, namun tindakan itu digagalkan pasukan serbuan.
Malah, ada antara wanita asing itu menangis menagih simpati semasa ditahan konon dapat dilepaskan selepas pemeriksaan awal didapati melakukan kesalahan undang-undang imigresen.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi itu menahan 22 individu.
Menurutnya, tangkapan terdiri daripada dua lelaki tempatan yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis.
"Selebihnya disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima lelaki iaitu enam warga Indonesia Vietnam (5 orang), Mongolia (1 orang), Bangladesh (5 orang), China (1 orang) dan dua Afghanistan.
"Siasatan awal mengesyaki terdapat aktiviti tidak bermoral ditawarkan di premis terbabit selain pekerja asing yang tidak memiliki permit kerja yang sah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, selain itu, tujuh notis saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada pelanggan premis bagi membantu siasatan.
Tegasnya, kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Imigresen 1959/63.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
