Tiga pusat hiburan diserbu, 29 warga asing ditahan

Seramai 29 warga asing ditahan dalam satu operasi serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di tiga pusat hiburan di Pontian pada awal pagi Rabu lalu. - Foto: JIM Johor
Seramai 29 warga asing ditahan dalam satu operasi serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di tiga pusat hiburan di Pontian pada awal pagi Rabu lalu. - Foto: JIM Johor
A
A
A

PONTIAN – Seramai 29 warga asing ditahan dalam satu operasi serbuan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor di tiga pusat hiburan sekitar daerah ini pada awal pagi Rabu lalu.

Operasi Ops Gegar yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah malam itu melibatkan seramai 35 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 69 individu termasuk warga tempatan telah diperiksa dalam operasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 17 wanita warga Vietnam serta 11 wanita dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan.

“Turut ditahan, tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai merupakan pengurus dan penyelia pusat hiburan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Rusdi, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.

“Tiga warga tempatan yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.

“Sebanyak 17 notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada beberapa individu lain bagi membantu siasatan,” katanya.

Jelas beliau, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Imigresen Johor akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras kemasukan dan aktiviti warga asing tanpa izin serta bertindak tegas terhadap majikan yang melindungi mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!