Tapak petrokimia terbesar di Johor diserbu, 225 warga asing ditahan

Sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia di Tanjung Langsa digempur Jabatan Imigresen Johor pada Selasa. - Foto JIM Johor
Sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia di Tanjung Langsa digempur Jabatan Imigresen Johor pada Selasa. - Foto JIM Johor
A
A
A

PASIR GUDANG – Sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia terbesar di Johor digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam serbuan Ops Mahir yang dijalankan di Tanjung Langsat pada Selasa lalu.

Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dilakukan hasil risikan selepas menerima maklumat awam mengenai kehadiran ramai warga asing yang bekerja tanpa permit atau pas sah.

Menurut beliau, serbuan dilakukan sepasukan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa Negeri Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.

"Seramai 664 individu melibatkan warga tempatan dan asing diperiksa dalam operasi berkenaan.

"Daripada jumlah itu, seramai 225 individu telah ditahan dalam serbuan tersebut membabitkan 129 lelaki dan empat wanita warganegara China, 84 lelaki warganegara Bangladesh, dua lelaki warganegara Indonesia, dua lelaki warganegara Pakistan dan dua lelaki warganegara Nepal.

"Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 63 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia di Tanjung Langsa digempur Jabatan Imigresen Johor pada Selasa. - Foto JIM Johor
Sebuah tempat pemprosesan dan pembinaan struktur bahan petrokimia di Tanjung Langsa digempur Jabatan Imigresen Johor pada Selasa. - Foto JIM Johor

Beliau berkata, seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang merupakan pengurus dan pegawai sumber manusia di tapak projek itu turut ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu tinggal di negara ini selepas pas atau permit tamat tempoh atau dibatalkan.

"Selain itu, mereka juga disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) serta Peraturan 39(b) kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.

"Dua warga tempatan pula disiasat di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing," jelasnya.

Mohd Rusdi memberitahu sebanyak enam notis juga telah dikeluarkan kepada individu tertentu sepanjang operasi untuk hadir ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa bagi membantu siasatan.

Katanya, semua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Pekan Nenas bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan membanteras kehadiran warga asing yang melanggar undang-undang imigresen dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak termasuk majikan, pemilik premis serta individu yang didapati menggajikan atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!