Projek Residensi Hektar Gombak dipulihkan, 2,400 pembeli tarik nafas lega

KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun tertangguh, Projek Residensi Hektar Gombak yang melibatkan 2,400 unit kediaman mampu milik akhirnya akan disambung semula hasil usaha gigih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta dijangka siap menjelang 2027.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek yang terbengkalai sejak sekian lama itu berjaya dipulihkan menerusi peranan aktif pasukan Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Jabatan Perumahan Negara (JPN).
“Setelah melalui pelbagai cabaran serta rundingan teknikal dan kewangan yang kompleks, inisiatif proaktif dan campur tangan berterusan oleh KPKT akhirnya membuahkan hasil.
"Suntikan dana sebanyak RM125 juta berjaya diperoleh bagi menyambung semula pembinaan,” ujarnya semasa lawatan kerja ke tapak projek berkenaan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kerja pembinaan akan bermula serta-merta dan dilaksanakan oleh kontraktor utama baharu iaitu Bina Permai Sdn Bhd.
Projek Residensi Hektar Gombak dimulakan pada 2018 di bawah Program Residensi Wilayah (RUMAWIP) dan dimajukan oleh Hektar Aneka Sdn Bhd.
Bagaimanapun, projek itu yang diselia oleh Jabatan Wilayah Persekutuan gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Perjanjian Jual Beli, iaitu pada Mei 2022.
“Pengumuman hari ini adalah satu langkah penting ke arah pemulihan projek perumahan yang sekian lama tergantung, sekali gus memberi sinar harapan kepada ribuan pembeli rumah yang menanti dengan penuh keresahan,” ujar Kor Ming.
Beliau menambah, KPKT sentiasa prihatin dengan nasib pembeli yang terjejas akibat kelewatan projek dan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi meringankan beban mereka.
“Antaranya termasuklah membantu pembeli mendapatkan pengurangan kadar bayaran dan penstrukturan semula pinjaman dengan institusi kewangan,” ujarnya lagi.

Di bawah kepimpinan Kerajaan Madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, KPKT terus komited memulihkan projek-projek perumahan bermasalah, khususnya bagi memastikan golongan berpendapatan rendah memperoleh kediaman yang selesa, selamat dan berdaya huni.
Antara kejayaan terdahulu KPKT termasuklah pemulihan Taman PRR Putera Kiansom di Sabah yang tertangguh selama 22 tahun serta pelaksanaan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani di Bestari Jaya, Selangor, yang menyelesaikan isu pemilikan rumah membabitkan 247 pekerja ladang selepas 27 tahun.
Sementara itu, salah seorang pembeli unit, Mohd Firdaus Abdul Karim, 43, yang ditemui Sinar Harian menyatakan rasa syukur dan kelegaan apabila projek ini akhirnya disambung semula.
“Saya bersyukur sangat-sangat. Rumah ni dah lama tertangguh... saya sendiri pernah rasa macam dah tak layak untuk terus menunggu,” ujarnya.
Menurut Firdaus, beliau kini menanggung sewa hampir RM2,600 sebulan untuk dua rumah bagi menampung keperluan keluarganya.
“Saya kerja biasa-biasa sahaja di sektor swasta. Dengan empat orang anak dan tinggal di Sentul, kos hidup memang tinggi. Bila dengar projek ni akan disiapkan dalam tempoh 15 bulan, rasa sangat lega dan gembira,” ujarnya.
Sementara itu, Iskandar Zulkarnain Mohamad Zaki, 34, seorang penjawat awam dari Gombak turut menyuarakan kelegaan yang sama.
“Perasaan saya memang cukup gembira. Projek ini sepatutnya siap pada 2021, tapi sekarang dah 2025. Dulu saya fikir projek ni akan terbengkalai terus,” ujarnya.
Menurutnya, beliau dan ramai penjawat awam lain yang membeli unit di situ terpaksa menanggung bayaran bulanan sekitar RM1,500 selama empat tahun walaupun rumah belum dapat diduduki.
“Memang agak terseksa. Tapi sekarang bila menteri dan kerajaan ambil tahu, memang ada sinar. Rasa terubatlah sikit di hati,” ujarnya.
KPKT dalam pada itu menegaskan akan terus memainkan peranan aktif dalam menyelia kemajuan projek ini serta memastikan pemaju mematuhi pelan pemulihan yang telah ditetapkan, agar keyakinan pembeli dapat dipulihkan sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

