Konflik Kemboja-Thailand: Mesyuarat GBC di Kuala Lumpur Selasa ini

PUTRAJAYA – Rundingan berhubung konflik antara Kemboja dan Thailand bakal diteruskan di Kuala Lumpur menerusi penganjuran Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada Selasa ini.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat.
"Thailand telah meminta supaya mesyuarat GBC seterusnya tidak dilakukan di Phnom Penh, tetapi dibawa ke Kuala Lumpur dan ini akan berlangsung pada hari Isnin serta diuruskan oleh pihak Kementerian Pertahanan (MINDEF)," katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat kabinet di sini.
Menurutnya, mesyuarat pra-GBC akan diadakan pada hari Isnin manakala mesyuarat GBC berlangsung pada keesokan harinya.
"Ia bakal menyaksikan kehadiran atase pertahanan negara-negara ASEAN, termasuk wakil dari Amerika Syarikat dan China," katanya.
Fahmi berkata, keputusan mesyuarat GBC dibuat susulan kejayaan Malaysia menjadi pemudah cara dalam usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu yang telah menyaksikan kehadiran Perdana Menteri Thailand dan Kemboja ke negara ini bagi sesi perbincangan.
Beliau berkata, perkembangan positif itu turut disifatkan Panglima Angkatan Tentera sebagai satu bentuk genjatan senjata paling singkat berjaya dicapai dalam tempoh tiga hari, berbanding situasi serupa yang pernah berlaku di negara lain.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan bahawa beberapa perkara penting dijangka dibincangkan dalam mesyuarat, termasuk mekanisme rundingan lanjutan serta pelaksanaan pasukan pemantau yang akan dilengkapkan oleh negara-negara ASEAN.
"Pasukan pemantau ini akan digerakkan untuk memastikan pelaksanaan genjatan senjata itu dapat dipantau dan dipatuhi sepenuhnya," katanya.
Konflik melibatkan sempadan Thailand dan Kemboja sebelum ini mendapat perhatian antarabangsa, dan usaha Malaysia sebagai negara tuan rumah serta pemudah cara dianggap antara intervensi paling pantas dalam meredakan konflik terbuka di rantau Asia Tenggara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

