Hukuman penjara pembantu kedai makan raba adik angkat dikurangkan tujuh tahun

SHAH ALAM – Seorang pembantu kedai makan yang dihukum penjara 10 tahun kerana meraba badan adik angkatnya pada 2022, melakukan sujud syukur selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, mengurangkan hukuman kepada tujuh tahun.
Adam Ahmad, 45, bertindak demikian selepas Hakim, Datuk Bhupindar Singh membenarkan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen tahun lalu.
Bagaimanapun, mahkamah mengekalkan hukuman dua kali sebatan dan mengikuti kaunseling di sepanjang tempoh pemenjaraan.
Bapa kepada dua anak berusia 16 dan 17 tahun itu juga diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai hukuman pemenjaraan.
“Mahkamah membenarkan perlaksanaan hukuman ditangguhkan sehingga rayuan akhir dan jumlah jaminan RM16,000 dikekalkan,” katanya.
Dalam prosiding ini, perayu diwakili peguam, Khairul Naim Rafidi dan Mariani Tan sementara pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Husna Abdul Halim.
Mengikut pertuduhan, Adam didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan cara meraba mangsa dalam sebuah rumah di Puchong pada 2.30 petang, 12 Oktober 2022.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan
Pada 24 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen di sini mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhi tertuduh hukuman terbabit.
Hakim, Rasyihah Ghazali menjatuhi hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Tertuduh juga diperintah menjalani kaunseling mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan pengawasan polis setelah tamat hukuman penjara.
Bagaimanapun beliau membenarkan hukuman penjara ditangguhkan dan tertuduh diikat jamin RM16,000 berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis dua kali setiap bulan hingga rayuan selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

