Keluarga warga Afghanistan 'berkampung' empat hari di terminal KLIA elak pemeriksaan

4 individu warga Afghanistan dilarang masuk Malaysia kerana disyaki menggunakan visa palsu.
4 individu warga Afghanistan dilarang masuk Malaysia kerana disyaki menggunakan visa palsu.
A
A
A

SEPANG – Cubaan empat individu warga Afghanistan dipercayai satu keluarga untuk memasuki Malaysia menggunakan visa palsu telah digagalkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disini pada Khamis lalu.

AKPS dalam kenyataan pada Selasa berkata, mereka merupakan antara 132 warga asing yang diperiksa dalam operasi pemantauan dan saringan dokumen di KLIA yang dijalankan oleh Unit Pemantau KLIA Terminal 1.

"Empat individu terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita dewasa, telah dikesan berlegar-legar tanpa hala tuju di kawasan terminal KLIA sehingga mencetuskan kecurigaan Pasukan Unit Pemantau.

"Siasatan awal mendapati kesemua individu tersebut tiba di Malaysia pada jam 9.20 malam Khamis," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat lanjut mendedahkan bahawa kesemua individu terbabit merupakan penumpang yang telah tiba di negara ini tetapi gagal melaporkan diri di kaunter pemeriksaan imigresen dalam tempoh masa yang ditetapkan.

"Difahamkan, mereka telah berada di kawasan terminal selama empat hari tanpa melalui proses pemeriksaan imigresen seperti yang sepatutnya," katanya.

Katanya, hasil semakan ke atas dokumen perjalanan mendapati kesemua visa milik mereka adalah palsu.

"Dalam siasatan lanjut, kesemua mereka mengaku tidak pernah menjejakkan kaki ke Uzbekistan yang kononnya sebagai transit, visa palsu tersebut diperoleh melalui seorang ejen dengan bayaran sebanyak AS$6,000 (RM25,386.00).

Pihak AKPS telah mengambil tindakan menolak kemasukan (NTL - Not To Land) ke atas keempat-empat individu berkenaan dan akan dihantar balik ke negara asal pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Insiden itu membuktikan komitmen berterusan AKPS dalam mengekang kemasukan warga asing melalui modus operandi pemalsuan visa ke negara ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!