Cubaan lima individu punggah 600 guni bijih timah RM2.85 juta gagal

Mohd Asri (tengah) menunjukkan bijih timah yang dirampas hasil kejayaan JKDM mematahkan cubaan pemunggahan bijih timah di sebuah jeti haram.
Mohd Asri (tengah) menunjukkan bijih timah yang dirampas hasil kejayaan JKDM mematahkan cubaan pemunggahan bijih timah di sebuah jeti haram.
A
A
A

KUANTAN – Cubaan lima individu termasuk empat warga Indonesia untuk memunggah 600 guni bijih timah yang dianggarkan bernilai RM2.85 juta berjaya digagalkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam satu operasi di sebuah jeti haram di Rompin pada 11 Mac lalu.

Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, kelima-lima individu yang ditahan dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang semasa pemeriksaan terhadap sebuah lori yang disyaki digunakan dalam aktiviti pemunggahan bijih timah dari sebuah kapal.

Bijih timah yang dirampas JKDM.
Bijih timah yang dirampas JKDM.

“Pemeriksaan lebih lanjut di dalam kapal telah menemui muatan bijih timah yang disimpan dalam guni dengan setiap guni mengandungi 50 kilogram logam tersebut,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Jalan Bank di sini pada Isnin.

Selain itu, pihaknya turut merampas sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut bijih timah serta kapal yang dipercayai digunakan untuk mendaratkan logam tersebut ke jeti haram. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM4.1 juta.

Mohd Asri berkata, kes ini disiasat di bawah tiga seksyen mengikut Akta Kastam 1968, iaitu Seksyen 36(1), Seksyen 52(1), dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada,” tambahnya.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa sindiket ini mengimport sumber mineral dari luar negara tanpa dokumen sah dan mendaratkan muatan tersebut di jeti haram.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah rampasan bijih timah pertama di Pahang pada tahun ini dan kegiatan penyeludupan ini dilakukan pada waktu pagi bagi mengelakkan perhatian pihak berkuasa,” jelasnya.

Mohd Asri menunjukkan gambar kapal dan lori yang dirampas ketika sidang akhbar di Wisma Kastam Jalan Bank, Kuantan pada Isnin.
Mohd Asri menunjukkan gambar kapal dan lori yang dirampas ketika sidang akhbar di Wisma Kastam Jalan Bank, Kuantan pada Isnin.

Mohd Asri menegaskan pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sepanjang perairan negeri ini untuk membanteras kegiatan penyeludupan barangan seperti bijih timah, rokok, minuman keras, dan bahan larangan lain yang boleh memberi kesan buruk kepada negara.

“Kami akan terus berusaha keras untuk membanteras aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja merugikan ekonomi negara tetapi juga mengancam keselamatan awam,” katanya.

Beliau juga menyeru orang ramai untuk terus memberikan maklumat mengenai aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian 09-570 6800 atau melalui laman web rasmi mereka di www.customs.gov.my.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!