PM berjaya jadi pendamai, elak krisis serantau - MB Selangor

SHAH ALAM – Malaysia sekali lagi membuktikan kematangan diplomatiknya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi pendamai dalam konflik sempadan antara Kemboja dan Thailand yang hampir mencetuskan perang serantau.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Anwar telah memainkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN dengan mengadakan sesi mediasi pada petang tadi melibatkan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.
“Hasil rundingan itu, satu gencatan senjata tanpa syarat telah dicapai dan akan berkuat kuasa tengah malam ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin malam.
Amirudin berkata, kepimpinan yang ditampilkan Perdana Menteri berjaya membawa keamanan antara dua negara jiran itu yang hampir terjerumus ke kancah peperangan akibat pertikaian sepanjang kira-kira 187 kilometer sempadan kedua-dua negara.
Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan sahaja melegakan seluruh ASEAN malah menunjukkan kemampuan, ketenangan serta sifat kenegaraan Anwar yang wajar dijadikan model dalam penyelesaian konflik di rantau ini.
“Rundingan dan mediasi berasaskan keamanan mesti dijadikan mekanisme utama bagi menyelesaikan pertikaian serantau. ASEAN tidak mampu ditarik ke medan perang.
“Kita telah menyaksikan kesan peperangan di Eropah dan Afrika serta genosid di Timur Tengah. Pada saat kuasa besar dunia seolah-olah mengabaikan nilai kehidupan, hari ini ASEAN membuktikan bahawa perang boleh dan mesti dielakkan,” ujarnya.
Tambah beliau, rantau ini hanya boleh terus berkembang melalui keamanan, dan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 membuktikan bahawa fokus utama ke hadapan adalah mencari penyelesaian pertikaian melalui rundingan damai.
“Saya percaya abad ini adalah Abad Asia Tenggara – The Southeast Asian Century – yang bukan hanya dari aspek ekonomi tetapi juga dari segi prinsip kemanusiaan, budaya dan kedaulatan undang-undang yang ditampilkan ASEAN.
“Semua ini adalah asas untuk membuktikan bahawa era ASEAN mampu menjadi model demokrasi masa depan. Dan untuk mencapainya, keamanan mesti dipertahankan,” ujarnya lagi.
Amirudin berkata, tindakan Perdana Menteri hari ini akan dilihat sebagai detik bersejarah di mana suara rasional melalui rundingan dan keamanan lebih dihormati di pentas antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

