Konflik Thailand-Kemboja: Malaysia tunjang diplomasi serantau

Mohd Hasbie
Mohd Hasbie
A
A
A

SHAH ALAM – Keberanian dan kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku perantara dalam rundingan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja membuktikan bahawa Malaysia bersedia memainkan peranan besar dalam membawa keamanan di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda berkata, selaku Pengerusi ASEAN, Anwar telah memperkukuh keyakinan serantau bahawa konflik boleh diselesaikan melalui meja rundingan, bukan melalui kekerasan bersenjata.

Menurut beliau, langkah diplomatik yang diambil Perdana Menteri mencerminkan kepimpinan Malaysia yang matang, berwibawa dan berorientasikan keamanan sejagat.

“Pemuda Amanah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang hari ini berjaya mempertemukan pemimpin Thailand dan Kemboja dalam rundingan gencatan senjata di Putrajaya.

“Pertempuran yang berlarutan sejak beberapa hari lalu bukan sahaja mengorbankan lebih 30 nyawa, malah memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka.

“Kami percaya rundingan ini akan menjadi asas penting untuk mengembalikan kestabilan dan membina kepercayaan antara kedua-dua negara jiran. Malaysia menunjukkan bahawa suara yang ikhlas untuk perdamaian sentiasa mendapat tempat di pentas antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Anwar memaklumkan bahawa rundingan tersebut berlangsung di kediaman rasminya di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada jam 3 petang.

Terbaharu, beliau mengesahkan bahawa Thailand dan Kemboja telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula malam Isnin.

Persefahaman tersebut dicapai hasil rundingan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai.

Artikel Berkaitan:

Menurut Anwar, satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan melibatkan komander serantau termasuk Wilayah Ketenteraan 1 dan 2 dari pihak Thailand serta Wilayah Ketenteraan 4 dan 5 dari pihak Kemboja, yang dijadualkan pada jam 7 pagi, Selasa.

Mesyuarat tersebut akan disusuli dengan pertemuan bersama Atase Pertahanan yang akan diketuai oleh Pengerusi ASEAN, sekiranya dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!