Pakar perlembagaan ‘tegur’ kenyataan menteri

KUALA LUMPUR – Kenyataan seorang menteri Kabinet baru-baru ini telah menarik perhatian pakar perlembagaan berhubung prinsip tanggungjawab kolektif Kabinet.
Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata, di bawah sistem Westminster yang diamalkan Malaysia, setiap anggota Kabinet terikat dengan prinsip tanggungjawab kolektif seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, prinsip berkenaan menuntut kesatuan pendirian dalam kalangan menteri Kabinet, khususnya apabila melibatkan pandangan yang disuarakan kepada umum.
“Sekiranya terdapat perbezaan pandangan, ia seharusnya dibincangkan secara dalaman. Sekiranya pandangan itu ingin disuarakan secara terbuka, amalan konvensyen menuntut supaya seseorang menteri tidak lagi berada dalam Kabinet,” katanya.
Dr Abdul Aziz berkata, perkara itu berbeza dengan pemimpin dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak memegang jawatan dalam Kabinet, kerana mereka tidak tertakluk kepada prinsip tanggungjawab kolektif yang sama.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu temu bual bersama sebuah stesen radio, di mana Ahli Parlimen Kapit itu menggunakan perkataan ‘bercerai’ ketika menyentuh isu berkaitan suasana politik negara.
Dalam temu bual tersebut, Nanta meluahkan kebimbangan terhadap perbezaan pendekatan dalam menangani isu perkauman, keagamaan dan politik antara Sarawak dan Semenanjung, selain menyentuh mengenai konflik politik yang berlarutan.
Antara kenyataan yang dipetik ialah:
“Saya mahu Malaysia terus menjadi sebuah negara yang progresif dan rakyat hidup dalam harmoni. Adakah itu terlalu banyak untuk diminta? Tetapi saya bimbang… jika kita terus bertelagah tentang segala-galanya, jangan salahkan kami, jangan salahkan orang Sarawak. Jika kamu tidak suka kami, bercerailah dengan kami.”
Mengulas lanjut, Dr Abdul Aziz berkata, dalam sejarah politik negara, terdapat beberapa contoh pemimpin yang mengambil keputusan berundur daripada jawatan Kabinet selepas berbeza pandangan dengan pendirian pentadbiran ketika itu.
Antara yang dirujuk termasuk Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Ghafar Baba dan Datuk Seri Rais Yatim, masing-masing pada era pentadbiran berbeza.
Beliau turut menegaskan bahawa pematuhan terhadap Perlembagaan serta amalan konvensyen politik merupakan elemen penting dalam sistem pemerintahan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
