Gencatan senjata serta-merta Thailand, Kemboja bukti ASEAN terus relevan - ABIM

SHAH ALAM - Kejayaan Thailand dan Kemboja mencapai persefahaman melaksanakan gencatan senjata serta-merta membuktikan ASEAN terus relevan sebagai platform utama penyelesaian konflik serantau.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, kejayaan itu turut menyerlahkan peranan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang berjaya menyatukan kekuatan politik serantau dengan sokongan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan China selaku penaja bersama rundingan.
“ABIM menyambut baik dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan pimpinan Thailand dan Kemboja dalam mencapai persefahaman untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula tengah malam ini bagi menghentikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara yang telah meragut nyawa dan menggugat kestabilan serantau.
“ABIM memuji peranan Malaysia dalam mengembalikan kestabilan serantau menerusi rundingan diplomatik yang tuntas, berprinsip dan inklusif,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula malam Isnin susulan rundingan khas di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persefahaman itu dicapai hasil rundingan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Malaysia sebagai tuan rumah dan Pengerusi ASEAN 2025 yang bertindak sebagai pemudah cara penyelesaian konflik sempadan.
Ahmad Fahmi turut menyeru agar kuasa-kuasa besar dunia terus menyokong pendekatan damai yang diterajui ASEAN, mengelak eksploitasi konflik demi kepentingan strategik masing-masing, serta memperkukuh kepimpinan serantau bagi penyelesaian konflik secara berdaulat.
“ABIM menggesa agar semua pihak mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata yang telah dipersetujui dan menghentikan serta-merta segala bentuk provokasi bersenjata bermula tengah malam ini.
“ABIM turut menyarankan agar ASEAN segera menubuhkan pasukan pemantau yang bebas dan berkecuali bagi memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar dalam tempoh yang dipersetujui,” katanya.
Tambahnya lagi, sebagai manifestasi solidariti serantau, bantuan kemanusiaan ASEAN wajar disalurkan segera kepada semua yang terkesan, khususnya mangsa perpindahan, keluarga kehilangan tempat tinggal dan waris mereka yang terkorban akibat konflik.
ABIM turut menyeru rakyat Thailand dan Kemboja, termasuk komuniti digital kedua-dua negara, agar menahan diri daripada menyebarkan provokasi, naratif kebencian dan tuduhan liar di media sosial.
“Pendekatan ini penting untuk menghidupkan kembali semangat muafakat dan penghormatan rentas sempadan, demi masa depan bersama yang damai.
“Sebagai gerakan masyarakat Madani, ABIM komited bekerjasama dengan rangkaian masyarakat sivil seluruh ASEAN bagi memperkukuh budaya damai, menyantuni mangsa konflik dan memastikan suara rakyat menjadi sebahagian daripada proses membina keamanan yang mampan,” jelasnya.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Sidang Masyarakat Madani ASEAN untuk Keamanan Serantau sebagai ruang dialog dan rekonsiliasi, serta pelaksanaan Program Pendidikan Keamanan ASEAN, khususnya untuk komuniti sempadan dan golongan belia serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

