Negara perlukan lebih ramai pakar kendali robot bedah lutut - Abdul Rahman

Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan daripada Amran (dua dari kiri) tentang robot ROSA.
Abdul Rahman (kanan) mendengar penerangan daripada Amran (dua dari kiri) tentang robot ROSA.
A
A
A

KOTA BHARU – Lebih ramai pakar perubatan yang mahir mengendalikan teknologi pembedahan lutut berasaskan robotik diperlukan bagi memastikan sistem kesihatan negara mampu mengikuti perkembangan teknologi perubatan semasa.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed berkata, keperluan tersebut semakin meningkat apabila penggunaan teknologi pembantu pembedahan robotik (ROSA) kian popular bagi pembedahan penggantian lutut, khususnya dalam rawatan pesakit osteoartritis.

“Ini merupakan teknologi masa depan. Seperti kecerdasan buatan, kita juga perlu menguasai teknologi robotik dalam pembedahan lutut. Jika tidak, kita akan ketinggalan.

“Kepakaran manusia masih menjadi faktor utama, manakala robot berfungsi sebagai alat bantuan bagi meningkatkan ketepatan dan keselamatan pembedahan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Peluncuran Perkhidmatan Pembedahan Robotik Penggantian Lutut Menyeluruh sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2026 di Kampus Kesihatan USM di sini pada Isnin.

Menurutnya, selain USM, sistem ROSA turut digunakan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan beberapa hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain banyak digunakan di hospital swasta di seluruh negara.

Beliau berkata, setakat ini Hospital Pakar USM (HPUSM) mempunyai tiga pakar ortopedik yang berkelayakan mengendalikan sistem pembedahan lutut robotik, iaitu Profesor Dr Amran Ahmed Shokri, Profesor Madya Dr Syaifulzain Ab Rahman dan Dr Muhammad Rajaei Ahmad Mohd Zain.

“Robot ROSA telah digunakan di HPUSM sejak September tahun lalu melibatkan sebanyak 13 kes pembedahan penggantian lutut.

“Kelebihan sistem ROSA adalah ketepatannya dalam menyesuaikan saiz dan penjajaran lutut mengikut anatomi setiap pesakit, sekali gus membantu pemulihan lebih cepat serta fungsi lutut yang lebih baik selepas pembedahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, dalam aspek latihan kepakaran, USM setiap tahun memberi pendedahan kepada kira-kira 30 penuntut pascasiswazah Sarjana Perubatan Ortopedik melalui program latihan dalaman serta subkepakaran.

Selain pakar tempatan, pendedahan teknologi tersebut turut menarik minat doktor dari luar negara termasuk Indonesia seperti Universiti Andalas, Universiti Padang dan Universiti Sebelas Maret.

“Sebagai universiti dan hospital pengajar, USM memberi tumpuan bukan sahaja kepada penyediaan rawatan klinikal, malah kepada usaha melahirkan pakar perubatan yang berkemahiran mengendalikan teknologi baharu,” katanya.

Ringkasan AI

  • Lebih ramai pakar perubatan berkepakaran dalam teknologi pembedahan lutut robotik diperlukan di Malaysia
  • Penggunaan teknologi ROSA untuk pembedahan penggantian lutut semakin popular terutamanya bagi pesakit osteoartritis
  • Kepakaran manusia penting dengan robot sebagai alat bantuan untuk meningkatkan ketepatan dan keselamatan pembedahan
  • Pakar ortopedik di Hospital Pakar USM telah menggunakan teknologi ROSA dalam 13 kes pembedahan penggantian lutut
  • USM menyediakan latihan tahunan kepada kira-kira 30 penuntut pascasiswazah dalam bidang perubatan ortopedik, tarik minat doktor luar negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!