Jemaah terkandas: Ustaz Firdaus nafi ada kaitan dengan syarikat gagal bawa jemaah pulang

Mohd Firdaus.
Mohd Firdaus.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd, Mohd Firdaus Mat Akhir yang menguruskan penerbangan pulang 39 jemaah terkandas menafikan mempunyai kaitan dengan syarikat yang gagal membawa kesemua mereka pulang ke tanah air.

Menurut Mohd Firdaus, beliau tidak mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit.

“Saya tak buat apa-apa perjanjian pun serta tidak berhubung langsung dengan syarikat berkenaan. Sebab itu saya terkejut apabila ada komen di media sosial mengatakan agensi tersebut akan membayar semula tambang tiket penerbangan,” jelasnya.

Mohd Firdaus yang juga Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel Malaysia bagaimanapun bersyukur apabila kesemua jemaah dapat pulang ke tanah air pada Isnin.

“Alhamdulillah, saya telah membayar 39 tiket penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur untuk membawa pulang jemaah dan mutawif yang terkandas.

“Jumlah yang dibayar sebanyak RM71,370 kepada Syarikat Kembara Hijrah Travel pada pagi Isnin dan jemaah dijadualkan menaiki pesawat MH157 (Malaysia Airlines) di Jeddah pada 28 Julai jam 9 malam (waktu Jeddah) serta akan tiba pada 29 Julai jam 11.15 pagi (waktu Malaysia),” jelasnya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Firdaus mengucapkan terima kasih kepada kakitangan dan pasukan Hyad Travel Malaysia yang bertungkus-lumus bagi memastikan urusan tersebut berjalan lancar sejak Ahad.

Beliau dalam masa sama menjelaskan tidak akan menuntut bayaran tambang tiket penerbangan daripada jemaah yang terkandas.

“Kita berdoa agar kesemua mereka selamat tiba ke Malaysia seperti yang dijadualkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas sebuah agensi pelancongan dari syarikat lain yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, empat jemaah yang terkandas difahamkan telah membeli tiket penerbangan sendiri manakala baki 39 jemaah termasuk seorang mutawif dilaporkan masih terkandas.

Mohd Firdaus sebelum ini menerusi media sosial mengumumkan kesediaan menguruskan penerbangan pulang kesemua jemaah dengan mendahulukan wang miliknya bagi membolehkan tempahan tiket penerbangan dibuat dengan kadar segera.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!