Polis siasat kenderaan guna lampu biru, siren

KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat satu video tular yang memaparkan sebuah kenderaan persendirian memasang lampu berkelip biru berserta siren ketika melalui laluan sesak, dipercayai berlaku di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) di sini pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
"Hasil penelitian terhadap video tular juga tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.
"Semakan pada ruangan komen netizen turut tidak menemukan sebarang maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Zamzuri berkata, perbuatan yang dipaparkan dalam video itu dipercayai melibatkan kesalahan di bawah Kaedah 138(1), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 iaitu larangan pemasangan lampu amaran berkelip pada kenderaan selain kenderaan kecemasan yang dibenarkan.
"Jika disabit kesalahan boleh dituduh di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sekiranya terdapat unsur menyamar sebagai penjawat awam, kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis.
"Mana-mana saksi atau individu yang mengetahui maklumat lanjut boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Ringkasan AI
- Polis menyiasat video tular kenderaan persendirian memasang lampu berkelip biru dan siren di Lebuh Raya MEX
- Belum ada laporan diterima berhubung kejadian tersebut
- Video tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat
- Kesalahan memasang lampu amaran berkelip pada kenderaan bukan kecemasan boleh disabitkan di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987
- Orang ramai diminta membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
