42 jemaah umrah terkandas di Jeddah

Seramai 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas pihak agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
Seramai 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas pihak agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Jemaah yang terkandas, Rakis Santa, 43, berkata, dia bersama yang lain sepatutnya pulang ke Malaysia pada Jumaat lalu namun sehingga ke hari ini pihak agensi masih belum membeli tiket pulang.

“Kami sekarang menginap di apartment di Jeddah dan pihak agensi ada meminta wang tambahan sebanyak RM2300 untuk membeli tiket pulang ke Malaysia.

“Rata-rata jemaah tidak bersetuju kerana kami telah membayar pakej penuh dan terpaksa menanggung banyak kerugiaan akibat terkandas ini.

“Kami sudah membayar antara RM9,000 hingga RM12,000 seorang untuk pakej umrah. Ada juga ahli keluarga yang tidak dapat turut serta kerana masalah kesihatan, tetapi sehingga kini tiada sebarang bayaran balik diterima walaupun ada yang telah membuat pembayaran antara RM30,000 hingga RM90,000,”katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada beberapa siri penangguhan tarikh keberangkatan jemaah sejak musim Syawal, yang kemudiannya ditukar ke musim haji dan seterusnya ke selepas haji tanpa penjelasan kukuh daripada pihak pengendali.

Menurutnya, mutawif jemaah iaitu bekas peserta program realiti Pencetus Ummah musim 2015, PU Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi telah menanggung kos penginapan semua jemaah sejak Jumaat lalu.

“Walaupun kami ditipu pihak agensi, namun kami bersyukur dapat mutawif yang bertanggungjawab dengan menanggung kos penginapan kami sepanjang terkandas di sini.

“Cumanya, kami tidak tahu sampai bila kami harus tunggu kerana kos semakin bertambah dan kami sudah melakukan Tawaf Wada (tawaf selamat tinggal),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rakis berkata, para jemaah telah menghubungi wakil Kedutaan Malaysia di Jeddah untuk mendapatkan bantuan dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut.

“Kami berharap pihak kedutaan dapat membantu bagi membolehkan kami semua pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, PU Abu memaklumkan dia bersama 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Menurut sebuah video di Instagramnya, mereka sepatutnya berlepas pulang ke Malaysia malam ini, namun terpaksa menunggu tanpa kepastian selepas dimaklumkan tiada tempahan tiket penerbangan dibuat oleh pihak agensi.

“Saya kasihan melihat raut wajah para jemaah yang rata-ratanya berumur 40-an, 50-an, dan 60-an yang dilihat kecewa, keletihan mengerjakan umrah dan tiba-tiba perkara ini berlaku.

“Saya harap video ini boleh dipanjangkan dan sekiranya video ini sampai kepada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab, usaha sehingga ke titisan darah terakhir, selesaikan dengan cara seorang lelaki selesaikan,” katanya

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!