Mayat ditemui di perairan Singapura, operasi cari nelayan hilang ditangguh

Usaha mencari dan menyelamat nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang selepas insiden pelanggaran bot di perairan Pengerang dilakukan sejak 1 Februari lalu. Gambar kecil: Mustaffa
Usaha mencari dan menyelamat nelayan tempatan yang dikhuatiri hilang selepas insiden pelanggaran bot di perairan Pengerang dilakukan sejak 1 Februari lalu. Gambar kecil: Mustaffa
A
A
A

KOTA TINGGI - Operasi mencari dan menyelamat seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas insiden pelanggaran bot di perairan Pengerang pada 1 Februari lalu ditangguhkan sementara susulan penemuan satu mayat di perairan Singapura.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, mayat berkenaan ditemukan oleh pihak berkuasa Singapura dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan nelayan terbabit.

"Operasi yang dikoordinasikan oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru ditangguhkan bermula Khamis sehingga proses pengecaman mayat oleh waris selesai.

“Penangguhan dibuat bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut dan proses pengecaman identiti mayat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, MRSC Johor Bahru mengaktifkan operasi selepas menerima laporan kehilangan mangsa, Mustaffa Hussain, 51, apabila bot gentian kaca yang dinaikinya terlibat dalam insiden pelanggaran di perairan Pengerang.

Sehingga Rabu, pencarian telah meliputi kawasan melebihi 60 batu nautika persegi dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Pejabat Penghulu, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pengerang serta bantuan orang awam.

Operasi pencarian akan disambung semula sekiranya proses pengecaman mengesahkan mayat yang ditemui itu bukan nelayan yang dilaporkan hilang.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita tempatan yang memaklumkan sebuah bot nelayan dinaiki suaminya bersama pekerja terbalik.

Siasatan awal mendapati bot nelayan jenis fiber yang dinaiki seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bersama pekerjanya iaitu lelaki warga asing berusia 32 tahun dilanggar sebuah bot lain yang tidak dikenal pasti pemiliknya.

Artikel Berkaitan:

Bot dinaiki dua nelayan itu kemudian terbalik, sebelum lelaki warga asing dijumpai ketika berpaut pada kayu bot dalam keadaan selamat oleh PPM Wilayah Dua Pengerang, manakala seorang lagi tidak diemui.

Ringkasan AI

  • Operasi mencari dan menyelamat nelayan hilang ditangguhkan selepas mayat ditemukan di perairan Singapura
  • Mayat ditemukan oleh pihak berkuasa Singapura dan dipercayai berkaitan dengan nelayan hilang
  • Operasi ditangguhkan untuk ruang siasatan lanjut dan proses pengecaman identiti
  • Operasi pencarian melibatkan pelbagai agensi dan melebihi 60 batu nautika persegi
  • Operasi pencarian akan disambung semula jika mayat bukan nelayan yang hilang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!