Kos bawa pulang 39 jemaah umrah terkandas cecah lebih RM70,000

SUNGAI PETANI – Anggaran kos membawa pulang jemaah umrah yang terkandas di Jeddah mencecah lebih RM70,000, membabitkan tiket penerbangan bagi 39 jemaah termasuk seorang mutawif.
Pengarah Urusan Firabib Group Sdn Bhd, Mohd Firdaus Mat Akhir berkata, setakat ini sebuah agensi pelancongan telah menawarkan khidmat untuk membantu menguruskan tiket penerbangan dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM71,000.
“Setakat ini, kos yang dimaklumkan berjumlah RM71,000 dan sebagai jaminan agar mereka boleh pulang ke tanah air, saya akan dahulukan wang tersebut,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pengurus Cawangan Utara Hyad Travel (Malaysia) Sdn Bhd berkata, kakitangan syarikat di ibu pejabat turut bertungkus-lumus sejak Ahad lalu bagi menguruskan perkara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, beliau telah mendahulukan sebanyak RM4,000 untuk kos penginapan tambahan selama satu malam buat semua jemaah yang masih berada di Jeddah.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa jumlah sebenar keseluruhan kos termasuk urusan makan dan pengangkutan ke lapangan terbang masih belum dapat dipastikan, namun akan dipastikan mencukupi demi menjaga kebajikan semua jemaah sebelum dibenarkan menaiki penerbangan pulang.
Mohd Firdaus turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan urusan penghantaran pulang jemaah berkenaan.
Beliau sebelum ini menerusi hantaran di media sosial menyatakan kesediaan untuk menguruskan penerbangan pulang semua jemaah yang terkandas ke tanah air secepat mungkin.
Namun begitu, sehingga kini beliau masih mempertimbangkan platform terbaik bagi mengumpulkan sumbangan orang ramai untuk menampung kos yang diperlukan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi yang menguruskan perjalanan mereka didakwa gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke tanah air.
Bagaimanapun, empat daripada jemaah berkenaan difahamkan telah membeli tiket sendiri untuk pulang ke Malaysia manakala baki 39 jemaah termasuk seorang mutawif masih dilaporkan terkandas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

